Semua pusat pemindahan banjir ditutup

Anggota Angkatan Pertahanan Awam sedang membersihkan Dewan Muhibbah selepas pusat pemindahan banjir tersebut ditutup petang tadi.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam sedang membersihkan Dewan Muhibbah selepas pusat pemindahan banjir tersebut ditutup petang tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Semua mangsa banjir di Surau An Nur, Kampung Tok Sani dan Dewan Muhibbah, Merbau Kudung, Sungai Dua dibenarkan pulang berikutan air di kediaman mereka telah surut.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh berkata, susulan daripada itu, kedua-dua pusat pemindahan banjir tersebut ditutup sepenuhnya hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa banjir di pusat pemindahan di Surau An Nur, Kampung Tok Sani dibenarkan pulang pada jam 7.40 pagi tadi.

"Tujuh keluarga melibatkan 35 orang di pusat pemindahan ini dibenarkan pulang kerana keadaan di rumah masing-masing sudah selamat kerana air telah pun surut.

"Sementara itu, pusat pemindahan di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung, Sungai Dua ditutup pada jam 1.20 petang tadi. Kesemua 15 keluarga melibatkan 85 mangsa pulang ke kediaman masing-masing," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, kesemua mangsa dibekalkan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur berikutan terpaksa tinggal di pusat pemindahan itu kerana kediaman mereka dimasuki air.

"Semua mangsa dibekalkan makanan untuk mereka bersahur awal pagi tadi. Mereka juga dibekalkan makanan untuk berbuka dan kemudahan lain.

"Selain air telah surut, cuaca pada hari ini agak baik dan tiada lagi hujan lebat setakat pagi tadi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 51 mangsa banjir dibawa ke pusat pemindahan

Artikel Berkaitan: