Nafas mampu jamin bekalan ayam seluruh negara

Mohamad Sabu bersama para penerima bantuan khas pada Program Santai Peladang, di sebuah hotel pada Isnin. - Foto Bernama
Mohamad Sabu bersama para penerima bantuan khas pada Program Santai Peladang, di sebuah hotel pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR – Penglibatan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dalam rantaian nilai ayam melalui anak syarikat milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (KPKM), Medan Juara Sdn Bhd dilihat mampu membantu keterjaminan makanan negara terutamanya melibatkan bekalan ayam pedaging.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, biarpun jumlah pembekalan ayam pedaging tidak besar, namun ia diyakini mampu membantu dalam usaha menjamin keterjaminan makanan di negara ini.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung dapat membantu golongan pengusaha kecil-kecilan dalam sektor berkenaan.

“Kita mahu Nafas terus terlibat dalam industri ayam pedaging ini. Harga ayam sekarang pun sudah mulai stabil, kalau naik pun tidak sampai ke harga siling.

“Saya berterima kasih kepada penternak besar dan penternak kecil yang menyebabkan harga ayam dan telur terkawal.

“Oleh itu, kita mahu Nafas, LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) dan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) berganding bahu dalam memastikan keterjaminan makanan pada masa hadapan,” katanya.

Mohamad berkata demikian selepas menghadiri Program Santai Peladang Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Pemimpin Peladang Zon Selatan 2023 di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi LPP; Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pengarah LPP; Datuk Azulita Salim, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS; Zamri Yaakob, dan Pengurus Besar NAFAS; Muhammad Faris Arriffin.

Pada program berkenaan, Mohamad turut menyerahkan peruntukan daripada LPP bernilai RM2.35 juta kepada NAFAS bagi Projek Menaiktaraf Bangunan Pusat Penetasan Anak Ayam (kompleks hatchery), yang dikendali syarikat subsidiari NAFAS, Medan Juara Sdn Bhd (MJSB).

Untuk rekod, MJSB yang,beroperasi mengeluarkan anak ayam pedaging berumur sehari atau dikenali sebagai day old chicken (DOC) merupakan syarikat usaha sama utama Nafas, Pertubuhan Peladang Negeri Johor serta beberapa Pertubuhan Peladang Negeri.

Difahamkan, ladang Ayam Baka MJSB mula beroperasi pada tahun 1995 dengan hanya memiliki dua buah reban ayam tertutup serta dua unit mesin pengeraman dan penetasan, sebelum ia ditingkatkan kepada 10 buah reban dengan kapasiti setiap reban ialah 10,000 ekor ayam baka atau Parent Stock.

Sementara itu Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Zamri Yaakob dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas peruntukan yang diterima menerusi Program Pemerkasaan Ladang Satelit Pertubuhan Peladang berkenaan dan berada di bawah Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan 2023.

Katanya, kerja-kerja menaiktaraf Kompleks Hatcheri tersebut telah pun bermula pada Julai 2023 lalu dan dijangka siap pada hujung tahun dan sekali gus akan menjadi bangunan yang lebih moden dan sistematik bagi proses meningkatkan kualiti anak ayam pedaging dan memelihara bio-sekuriti kompleks hatchery.

“Buat masa ini, jumlah pengeluaran semasa bagi anak ayam pedaging MJSB adalah 500,000 ekor dalam sebulan atau enam juta ekor dalam setahun.

“Oleh itu, pihak MJSB menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran kepada tujuh juta ekor menjelang tahun 2025..tetapi secara berperingkat dan untuk itu usaha menaik taraf Kompleks Hatcheri ini merupakan langkah penting bagi memastikan peningkatan pengeluaran dapat dicapai.

“Justeru, penaiktarafan Kompleks Hatcheri ini merupakan langkah penting bagi memastikan peningkatan pengeluaran dapat dicapai pada tahun-tahun akan datang,” katanya.