Ke arah universiti 4P bantu kerangka Ekonomi Madani

Gambar hiasan. Gambar kecil: Arifin Abdu
Gambar hiasan. Gambar kecil: Arifin Abdu
A
A
A

MALAYSIA menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing serta sejauh mana tarikan negara sebagai destinasi pelaburan yang memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat.

Saya merujuk mengenai 4P iaitu Penyediaan bakat, Penyelidikan & Inovasi, Pemindahan ilmu dan Pengantarabangsaan seperti yang diperkatakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini.

Menurut Khaled, dasar pendidikan tinggi sedia ada akan ditambah baik bagi memastikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memainkan peranannya sebagai “faktor kritikal” dalam menjayakan kerangka Ekonomi MADANI.

Dasar itu akan memberi tumpuan kepada soal penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, menggalakkan pemindahan dan perkongsian ilmu oleh universiti kepada masyarakat serta pengantarabangsaan sektor pendidikan.

Konsep 4P ini dilihat sebagai usaha universiti sebagai barisan hadapan pendidikan tinggi untuk membantu masyarakat dan negara ketika kita masih bergelut dengan pelbagai masalah ekonomi dalaman dan global.

Dalam aspek penyediaan bakat, universiti komited dalam usaha-usaha pemerkasaan mahasiswa secara holistik dan membentuk mahasiswa yang lebih dinamik, progresif, beradab mulia dan berkeperibadian unggul.

Untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, universiti harus prihatin dengan keperluan global dan permasalahan semasa dunia yang boleh menjana ekonomi negara dengan membuat transformasi dan reformasi sukatan pengajian universiti.

Mahasiswa telah dilatih bakat mereka dalam kepimpinan, pengurusan aktiviti dan ekonomi persatuan dan kelab secara autonomi tanpa campurtangan pegawai universiti supaya mereka merasai ‘sepak terajang’ cabaran kepimpinan dan pengurusan sebelum bergraduasi.

Universiti-universiti bukan sahaja berperanan untuk membantu negara dalam menawarkan bakat terbaik tetapi juga perlu menilai semula struktur pendidikan agar memenuhi kehendak pasaran antarabangsa.

Dalam aktiviti komuniti, mahasiswa telah mengambil kursus wajib ko-kurikulum berkredit agar permasalahan komuniti sejak di universiti membentuk mahasiswa menjadi pemimpin pelapis yang prihatin dan cakna terhadap rakyat.

Dalam konteks penyelidikan dan inovasi (PI), universiti perlu melibatkan diri secara aktif dalam PI bagi meningkatkan jumlah akademia yang memiliki kepakaran untuk kepentingan akademia, industri, sektor kerajaan, swasta dan rakyat.

Pusat penyelidikan dan pengkomersilan universiti harus aktif mendorong dan menyokong PI dengan menarik banyak pemain industri utama untuk mengkomersilkan produk universiti sekaligus menjana ekonomi universiti dan negara.

Dalam menggalakkan pemindahan dan perkongsian ilmu oleh universiti kepada masyarakat, Khaled Nordin telah melancarkan program Semarak Siswa Madani (SSM) hasil cetusannya pada 20 Jun lalu agar mahasiswa berkongsi ilmu, inovasi, teknologi dan melaksanakan aktiviti khidmat komuniti dengan lebih strategik.

Program SSM mendapat penglibatan daripada kesemua mahasiswa institusi pengajian tinggi peringkat KPT ini menyediakan platform kepada mahasiswa untuk mempromosikan idea-idea baharu seperti teknologi, sains, ekonomi, pertanian bandar yang bersifat ihsan dan mampan.

Inisiatif Semarak Siswa Madani ini berfokus kepada empat komponen utama aktiviti khidmat komuniti serta perkongsian ilmu dam inovasi, iaitu KPT Prihatin Madani, Student for Society, Knowledge Transfer Programme @Komuniti dan TVET @Komuniti Madani.

Kelemahan dalam perkongsian ilmu oleh universiti kepada masyarakat selama ini ialah jaringan yang terjalin kebanyakannya bersifat one off atau libat urus sahaja dan kurangnya program bimbingan berterusan bagi meningkatkan status dan kualiti ekonomi, sosial masyarakat.

Sejak dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled komited dalam usaha-usaha pemerkasaan mahasiswa dan membentuk mahasiswa yang lebih holistik.

Beliau mengambil serius meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk memberi autonomi kepada mahasiswa kebebasan menguruskan sendiri aktiviti dan pengurusan kewangan bagi melahirkan bakat yang lebih Madani.

Akhir sekali ialah pengantarabangsaan sektor pendidikan untuk menjadikan universiti Malaysia sebagai hab reputasi kecemerlangan antarabangsa dengan terus komited kepada usaha-usaha penarafan dan pengantarabangsaan.

Antaranya ialah QS World University Rankings; Times Higher Education (THE) Impact World University Rankings; QS Asia University Rankings; 20 UI-Greenmetric World University Rankings; Top subjek QS World University Rankings, 5 Star dalam QS Rating; MyRA dan SETARA.

Kepercayaan terhadap penarafan antarabangsa ini yang akan menarik pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai hab pendidikan global akan menjana ekonomi negara dari sudut yuran, perbelanjaan dan gaya hidup.

Kepimpinan intelektual universiti harus memikirkan tentang gagasan-gagasan kesan ekonomi untuk menangani isu-isu masyarakat dan negara dalam menyokong kerangka ekonomi MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar hasil universiti boleh dikongsi bersama rakyat dan negara.

Sebanyak 20 universiti awam dan 403 institusi pengajian tinggi swasta yang menawarkan kepelbagaian program harus merancakkan peranannya sebagai ‘faktor kritikal’ dalam menjayakan kerangka Ekonomi MADANI.

Pemimpin institusi pendidikan tinggi (IPT) terutama awam perlu menafikan pandangan bahawa IPT telah berada di zon selesa yang sumbangannya terhad dalam pengajaran dan penyelidikan sahaja tanpa menjadi pemain utama dalam menjana ekonomi negara.

*Prof Dr Arifin Abdu merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia