'Tanggalkan jaket parti bila bertugas di Putrajaya' - Ahmad

Ahmad (kanan) dan Rafizi.
Ahmad (kanan) dan Rafizi.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dinasihatkan agar menanggalkan ‘jaket’ kepartian ketika beliau menjalankan tanggungjawab di Putrajaya.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, Rafizi tidak seharusnya mencampuradukkan isu politik dalam urusan pentadbiran selain perlu mengetepikan perbezaan politik dengan negeri pembangkang.

Menurutnya, ini bukan lagi masanya untuk politiking, sebaliknya setiap menteri harus bekerja untuk rakyat tanpa membuat sekatan terhadap mana-mana negeri.

“Serba-serbi beliau mahu tunjukkan politiking yang berlebihan. Tanggalkan jaket parti bila bertugas di Putrajaya. Sekarang masa bekerja untuk rakyat, bukan untuk kepentingan kepartian.

“Adakah Rafizi masih tidak faham tugas dan tanggungjawab beliau dalam Kementerian Ekonomi selepas lebih lapan bulan mentadbir?” soalnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menempelak kenyataan Rafizi berkaitan agihan peruntukan kepada negeri-negeri ditadbir parti pembangkang khususnya Kedah, Kelantan Perlis dan Terengganu yang didakwa menerima peruntukan lebih dalam belanjawan, namun didakwa tiada perancangan ekonomi yang baik.

“Kenyataan tersebut lebih bersifat dendam politik yang tidak berkesudahan,” ujarnya.

Menurutnya, peruntukan pembangunan kepada negeri-negeri miskin yang ditadbir Pas atau Perikatan Nasional (PN) ketika ini bertujuan mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah yang menjadi fokus utama Kementerian Ekonomi, dan perkara ini telah difahami dengan jelas dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen.

“Kenapa masih lagi dipersoalkan? Soal prestasi ekonomi negeri-negeri ini tidak sepatutnya diukur dengan prestasi semasa semata-mata.

“Ia perlu dinilai kepada unjuran peningkatan petunjuk utama ekonomi negeri-negeri bagi beberapa tahun akan datang,” jelasnya.

Ahmad tegaskan, kesemua agenda yang dirancang berdasarkan kepada RMK12 mempunyai sasaran dan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.

“Ia bukan kayu magik yang boleh mengubah dunia dalam sekelip mata. Ini bukan formula turun harga minyak yang boleh selesai semua masalah seperti yang pernah dibentangkan seorang tokoh politik negara dahulu.

“Rafizi seharusnya faham soal kesan pengganda (multiplier effect) dalam projek-projek pembangunan yang disalurkan kepada negeri-negeri pembangkang ini,” ujarnya lagi.

Jelasnya, masing-masing mempunyai garis tanggungjawab tersendiri sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri seperti termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Pada Khamis, Rafizi memaklumkan kerajaan akan menambah baik agihan peruntukan kepada negeri dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan ia lebih adil, terutama untuk negeri yang tidak mendapat peruntukan tinggi sebelum ini.

Rafizi turut mengesahkan ketika ini terdapat enam negeri diberikan keutamaan pada setiap kali belanjawan, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang mendapat lebih 50 peratus daripada peruntukan pembangunan.

Namun katanya, sebahagian negeri berkenaan tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.

Sebaliknya negeri yang berada pada tahap ekonomi sederhana, terutama Negeri Sembilan, Melaka dan Perak tidak mendapat peruntukan tinggi sedangkan ia tidak begitu kaya atau terlalu miskin.