Remaja ditahan bunuh rakan angkara cemburu

Laporan Sinar Harian Khamis lalu. Gambar kecil: Ahmad Adnan
Laporan Sinar Harian Khamis lalu. Gambar kecil: Ahmad Adnan
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang remaja ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui tertiarap dalam parit di Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Rungkup dekat sini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 17 tahun itu ditahan di Hutan Melintang pada Sabtu lepas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek merupakan kenalan dan jiran mangsa di sebuah taman perumahan di Teluk Intan.

"Mayat mangsa telah dikenal pasti sebagai warga tempatan berusia 21 tahun.

"Susulan itu, satu tangkapan dilakukan ke atas suspek yang kemudiannya mengaku terlibat dalam kes bunuh berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, daripada keterangan dibuat, suspek telah membunuh mangsa pada 20 Ogos lalu dan membuang mayatnya di lokasi ditemui.

Katanya, punca kejadian adalah disebabkan suspek cemburu kerana mangsa dikatakan telah mengganggu teman wanitanya.

"Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 1 September ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki ditemukan tertiarap dalam parit oleh orang awam dalam keadaan mereput dengan beberapa kesan luka di bahagian tangan, kaki dan leher sekitar jam 4.48 petang pada 23 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat lelaki ditemui dalam parit dipercayai dibunuh