Panda gergasi Yi Yi, Sheng Yi pulang ke China esok

Yi Yi dan Sheng Yi akan pulang ke China pada Selasa.
Yi Yi dan Sheng Yi akan pulang ke China pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suasana muram menyelubungi Zoo Negara apabila rakyat Malaysia perlu mengucapkan selamat tinggal kepada dua panda gergasi, Yi Yi dan Sheng Yi yang akan dihantar pulang ke China pada Selasa.

Zoo Negara menerusi perkongsian di Facebooknya berkata, Yi Yi dan Sheng Yi telah menjadi sebahagian keluarga Zoo Negara sejak dilahirkan pada 14 Januari 2018 dan 30 Mei 2021.

Menurutnya, panda ini dibesarkan dalam persekitaran Zoo Negara yang keletahnya menjadi penghibur kepada pengunjung yang tertarik dengan kecomelan mereka.

"Telatah mereka yang suka bermain, raungan lembut dan kehadiran yang menawan menjadi salah satu tarikan di sini.

"Dari langkah pertama yang teragak-agak hingga pengembaraan nakal mereka, setiap saat adalah bukti kegembiraan mereka di sini," menurut perkongsian di Facebook pada Isnin.

Ujar kenyataan itu, kenangan pahit manis bersama Yi Yi dan Sheng Yi akan kekal dalam ingatan.

"Kami mengucapkan selamat tinggal kepada panda yang luar biasa ini. Kami akan simpan kenangan, tawa dan kasih sayang yang mereka bawa.

"Kami bersyukur diberi masa bersama mereka. Terima kasih Yi Yi dan Sheng Yi," ujar kenyataan itu.

Yi Yi dan Sheng Yi merupakan anak kepada pasangan Xing Xing dan Liang Liang yang merupakan panda gergasi dipinjamkan selama 10 tahun pada 21 Mei 2014 sempena ulang tahun ke-40 hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Selain Yi Yi dan Sheng Yi, pasangan itu turut melahirkan anak pertama, Nuan Nuan yang telah dihantar pulang pada 2017 diikuti Yi Yi dan Sheng Yi pada Selasa (29 Ogos 2023).

Penghantaran pulang Yi Yi dan Sheng Yi ke China dilaksanakan sebagai mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Malaysia dan China.