City sedang sesuaikan diri tanpa Pep

Guardiola
Guardiola
A
A
A

PENYANDANG juara, Manchester City dapat menyesuaikan diri tanpa pengendali Pep Guardiola yang direhatkan mengendalikan dua perlawanan selepas menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, pemain tengah City, Bernardo Silva tanpa berselindung mengakui juara treble musim lalu itu akan menerima kesan kecil tanpa kehadiran pengendali kelahiran Sepanyol tersebut.

“Ya, akan berlaku kesan kecil kepada kami tanpa kelibat Pep, namun sekiranya tanpa dia selama dua atau tiga bulan, kesannya mungkin jauh lebih besar.

“Bagi dua perlawanan sebelum rehat perlawanan antarabangsa, beberapa pemain telah bermain di bawah Pep selama tujuh tahun, yang selebihnya kurang.

“Tetapi kami tahu betul apa yang Pep mahu daripada kami. Jadi kami akan berusaha dengan cara yang sama untuk perlawanan sebelum Pep kembali semula,” kata pemain berusia 29 tahun tersebut.

Guardiola sebelum ini dilaporkan mengalami sakit bahagian belakang yang agak teruk diterbangkan ke Barcelona untuk menjalani pembedahan segera selepas kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United minggu lalu, selesai menjalani pembedahan tersebut.

Pembantu Guardiola, Juanma Lillo akan mengambil alih pasukan sementara bagi dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Sheffied United dan Fulham.