Veiga tambah nilai bahagian tengah Al-Ahli

Veiga
Veiga
A
A
A

AL-Ahli menandatangani pemain skuad Bawah 21 Tahun Sepanyol, Gabri Veiga daripada kelab LaLiga, Celta Vigo dengan kontrak tiga tahun, kata pasukan Liga Pro Saudi itu pada Sabtu, yang merupakan pembelian terbaharu gergasi Arab Saudi tersebut.

Veiga, produk Akademi Celta, menjaringkan 11 gol liga untuk kelab Sepanyol itu musim lalu, termasuk dua gol pada hari terakhir kempen dalam kemenangan 2-1 ke atas juara Barcelona - yang membantu pasukannya mengelak penyingkiran.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang bermain sebanyak lapan kali untuk pasukan B-21 tahun Sepanyol, merupakan sebahagian daripada skuad yang menamatkan saingan naib juara Euro B-21 bulan lalu, telah menarik minat beberapa kelab pada jendela perpindahan termasuk Chelsea, Liverpool dan Napoli.

“Veiga permata Sepanyol akan melaungkan chant kelab kami,” kata Al-Ahli di media sosial kelab yang berpangkalan di Jeddah tersebut.

Veiga merupakan tambahan terbaharu dalam keluarga besar Al-Ahli selepas pembelian Riyad Mahrez, Roberto Firmino, penjaga gol Edouard Mendy, Alain Saint-Maximin, Merih Demiral, Franck Kessie dan Roger Ibanez.

Al-Ahli, yang telah kembali ke Liga Pro Saudi selepas semusim di Divisyen Dua, menikmati permulaan yang baik musim ini apabila meraih tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.

Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) sebelum ini mengumumkan Projek Pelaburan dan Penswastaan Kelab Sukan melibatkan juara liga Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Hilal.

PIF memiliki 75 peratus pegangan dalam setiap empat kelab, manakala yayasan yang berteras bukan keuntungan masing-masing memiliki baki 25 peratus.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!