Lang Merah tetap merendah diri

Fernando (kanan) melorongkan bola ke arah Bauman sebelum disudahkan dengan baik oleh penyerang itu untuk meletakkan Kedah terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-16.- Foto MOHD ASYRAF
Fernando (kanan) melorongkan bola ke arah Bauman sebelum disudahkan dengan baik oleh penyerang itu untuk meletakkan Kedah terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-16.- Foto MOHD ASYRAF
A
A
A

KEDAH enggan mendabik dada dengan kejayaan mara ke peringkat separuh akhir Piala FA 2019 walaupun ramai yang meramalkan pasukan tersebut antara pasukan yang berpontensi melangkah ke perlawanan akhir musim ini.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, bagaimanapun beliau mengakui kejayaan Lang Merah mara ke peringkat empat kelompok terbaik adalah hasil usaha semua anak-anak buahnya yang berusaha untuk meningkatkan corak permainan ke tahap lebih baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Jangan lupa bahawa Kedah sebenarnya adalah sebuah pasukan yang baru 'dibina' sekitar lima bulan namun Alhamdulilah disebabkan oleh semangat berpasukan yang tinggi, kami membaiki mutu permainan sedikit demi sedikit dan ini yang menyebabkan kami semakin kuat.

"Setiap lawan yang bakal dihadapi pada separuh akhir selepas ini adalah sukar buat saya. Namun apa yang lebih penting adalah untuk belajar dan membaiki kesilapan yang dilakukan pada perlawanan-perlawanan yang lepas.

"Kita boleh lihat setiap pasukan di dalam Liga Super juga semakin meningkat naik. Apapun kami mahu meraikan kejayaan ini terlebih dahulu sebelum memikirkan perlawanan seterusnya," katanya pada sidang akhbar di Bilik Media Stadium Darul Aman semalam selepas menang agregat 4-2 ke atas PKNS FC pada peringkat suku akhir Piala FA 2019.

Pada suku akhir kedua semalam, pelawat bangkit mengikat tuan rumah dengan keputusan 1-1 namun gagal memadam kelebihan dimiliki Kedah yang sebelum itu menang 3-1 di laman PKNS FC pada 30 Mei lalu.

Gol tunggal kedah muncul pada minit ke-16 menerusi Jonathan Bauman yang memanfaatkan lorongan Fernando Ortega sebelum disamakan oleh lawan hasil jaringan sendiri pertahanan Kedah, Azmeer Yusof pada minit ke-30.

Aidil berkata, beliau memuji semua pemain-pemainnya terutamanya barisan pertahanan seperti Azmeer, Khairul Helmi Johari, Shakir Hamzah dan Rizal Ghazali kerana berjaya menyerap asakan dan banyak percubaan yang diatur oleh The Red Ants.

Artikel Berkaitan:

Walaupun turun tanpa 'kereta kebal' mereka, Renan Alves yang digantung perlawanan akibat mengutip tiga kad kuning sebelum ini namun Lang Merah berjaya berjaya menyerap asakan yang dilakukan oleh skuad Datuk K Rajagopal terutamanya menerusi penyerangnya, Kpah Sherman.

"Pasukan ini bergerak di atas semangat berpasukan yang tinggi dan bukannya di atas kapasiti individu semata-mata dan pujian wajar diberikan kepada semua pemain kerana masih mampu memberikan aksi terbaik walaupun beraksi di dalam bulan Ramadan.

"Berdepan PKNS FC juga bukan satu tugas mudah kerana pasukan itu mengamalkan disiplin yang tinggi dalam permainan mereka malah dalam waktu yang sama, ada beberapa pemain Kedah yang masih cedera namun mereka masih mahu beraksi dan berjaya memberikan persembahan terbaik," katanya.