15 sekeluarga cemas tapak perkhemahan dinaiki air awal pagi

Keadaan khemah lima sekeluarga di sebuah tapak perkhemahan di Ulu Cheka yang dinaiki air dalam kejadian awal pagi Sabtu.
Keadaan khemah lima sekeluarga di sebuah tapak perkhemahan di Ulu Cheka yang dinaiki air dalam kejadian awal pagi Sabtu.
A
A
A

JERANTUT - Kegembiraan 15 sekeluarga berkumpul sambil berkhemah di sebuah tapak perkhemahan di Ulu Cheka dekat sini bertukar cemas apabila kawasan itu dinaiki air pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, khemah yang dipasang roboh dan dihanyutkan arus sungai bagaimanapun semua mangsa selamat apabila mereka sempat menyelamatkan diri lebih awal.

Salah seorang mangsa, Soyart Hasan, 36, dari Bandar Pusat Jengka, Maran berkata, dia bersama tiga adik-beradiknya dan ahli keluarga masing-masing seramai 15 orang termasuk lapan kanak-kanak datang ke tapak perkhemahan terbabit pada petang Jumaat untuk berkumpul sempena cuti sekolah dan hujung minggu.

Menurutnya, mengikut perancangan, sembilan adik-beradiknya akan berkumpul di situ namun semasa kejadian hanya empat beradik bersama ahli keluarga masing-masing sampai dahulu.

"Pada awalnya keadaan cuaca baik namun mulai hujan kira-kira jam 7 petang dan berlarutan hingga ke 10 malam.

"Selepas jam 10 malam, hujan mula reda namun ketika itu saya dan yang lain mula menyedari paras air sungai semakin naik.

Keadaan salah satu khemah mangsa yang dinaiki air dan khemah yang tumbang selepas dihanyutkan arus dalam kejadian di sebuah tapak perkhemahan di Ulu Cheka di sini pada Sabtu.
Keadaan salah satu khemah mangsa yang dinaiki air dan khemah yang tumbang selepas dihanyutkan arus dalam kejadian di sebuah tapak perkhemahan di Ulu Cheka di sini pada Sabtu.

"Ketika itu kami sudah berjaga-jaga dan mula mengangkat dan mengemas barang kira-kira jam 1 pagi apabila air sungai mula melimpah ke tapak perkhemahan," katanya ketika dihubungi.

Soyart berkata, pada mulanya hanya barang-barang yang diselamatkan manakala khemah belum dibuka kerana menjangkakan air akan surut.

"Ternyata sangkaan kami meleset apabila limpahan air dipercayai dari hulu naik mendadak dan menghanyutkan khemah kami.

"Mujurlah kenaikan paras air sungai disedari lebih awal jadi kami sudah dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang malam. Kalau air naik ketika kami sedang tidur, tak tahu apa yang akan jadi," ujarnya.

Menurutnya, walaupun aktiviti perkhemahan itu terganggu, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.

"Kuasa alam sukar dijangka. Mungkin akibat hujan lebat di bahagian hulu punca limpahan air di kawasan ini.

"Saya sempat kongsi video kejadian di Facebook sebelum ia tular. Selepas itu baharu tahu kejadian kepala air dan banjir kilat turut berlaku di kawasan Maran.

"Ramai yang sangka kejadian menimpa kami berlaku di sana," jelasnya.

Soyart berkata, walaupun berdepan situasi cemas itu, mereka sekeluarga tetap meneruskan aktiviti itu namun terpaksa beralih ke tapak perkhemahan lain memandangkan air sungai di situ belum surut sepenuhnya.

"Aktiviti ini kami dah rancang lama dan masing-masing masih dalam mood 'camping' jadi perkhemahan diteruskan mungkin sehingga Isnin ini," katanya.