PRK: Dakwa PN syok sendiri hanya sindrom penafian UMNO - Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional menyifatkan dakwaan UMNO bahawa gelombang rakyat menyokong parti itu akan berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram hanya 'syok sendiri' sebagai satu bentuk sindrom penafian.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, UMNO sekadar cuba menafikan hakikat tersebut seperti yang mereka lakukan semasa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

"Pada PRN sebelum ni pun dia cakap sama juga, jadi ayat syok sendiri adalah perbualan daripada mulut mereka, jadi kita tak ambil kisah tentang apa yang mereka cakap sebab rakyat pun tahu apa mereka cakap rakyat tak lupa pun.

"Jadi pada saya biarlah sindrom penafian yang ada dengan mereka itu sesuatu yang mereka boleh bawa untuk masa depan mereka syok sendiri, sindrom penafian itu adalah syok sendiri mereka," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini pada Sabtu.

Terdahulu beliau mengetuai perarakan mengiringi calon PN, Zulkifli Jaafar untuk penamaan calon kerusi Parlimen Pulai menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Suhaizan Kaiat serta calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Turut hadir, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Berkenaan calon PN yang merupakan muka baharu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, pemilihan Zulkifli kerana parti yakin beliau akan mampu berkhidmat selain tahu tanggungjawab serta memahami kepentingan rakyat.

Jelasnya, kelebihan Zulkifli sebagai aktivitis masyarakat sebelum ini akan turut membantu dalam usaha merampas kerusi Parlimen Pulai daripada PH.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan persediaan dan momentum jentera PN yang dilihat berjalan lancar serta licin semasa berkempen nanti.

"Ini bagi memastikan rakyat dapat memahami apa tanggungjawab dan apa yang kita perjuangkan," ujar Ahli Parlimen Larut itu.

Hamzah berharap, rakyat terutama pengundi akan membuat pilihan yang tepat dalam PRK itu nanti dan boleh merujuk kejayaan PN semasa menjadi kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Menurutnya, semasa menjadi kerajaan, PN tidak mencari kesalahan pihak lawan sebaliknya mencari penyelesaian masalah rakyat sekali gus membantu mereka dan ini boleh dibuktikan semasa pandemik Covid-19.

Katanya, pemerintahan PN amat cemerlang namun apabila diambil alih kerajaan pada hari ini, ekonomi menurun malah analisis berpendapat pertumbuhan ekonomi negara yang diunjurkan lima peratus pada tahun ini tidak akan berlaku.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa puas hati dengan kehadiran penyokong PN dianggarkan lebih 1,000 yang menunjukkan sokongan sekali gus menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram bermula hari ini

Pusat penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram dibuka 9 pagi ini

PRK: Hampir 1,000 penyokong iringi calon PN

Ahmad Zahid, Hamzah iring calon PRK Pulai

PRK: Calon Bebas paling awal tiba di pusat penamaan calon Parlimen Pulai