'Lain macam cara gali kubur'

Polis ketika melakukan pemeriksaan dibantu penduduk setempat. Gambar kecil, Abu Bakar.
Polis ketika melakukan pemeriksaan dibantu penduduk setempat. Gambar kecil, Abu Bakar.
A
A
A

GELANG PATAH - Kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Bukit Bahagia, Kampung Pok semalam digemparkan dengan penemuan lubang besar di salah satu pusara seorang penduduk.

Bekas ketua kampung itu, Abu Bakar Abd Rashed berkata, kubur yang digali itu adalah milik seorang lelaki yang meninggal dunia akibat kemalangan.

“Perkara ini disedari pagi tadi (semalam) apabila salah seorang penduduk melihat terdapat lubang besar seperti digali dengan sengaja.

“Kami difahamkan, pengadu yang juga wanita itu pada mulanya hanya mahu menziarahi pusara arwah suaminya yang berada beberapa tapak dari kubur yang digali ini,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu, semalam.

Abu Bakar berkata, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku selepas penempatan baharu tanah perkuburan kawasan itu sejak 1960-an.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku itu mempunyai unsur mistik dan kepercayaan syirik.

“Penduduk rasa perkara ini ada kena mengena dengan benda tidak baik. Kalau tengok daripada cara mereka gali kubur itu pun nampak yang orang ini memang nak dapatkan sesuatu.

“Kita tidak tahu apa yang mereka nak, mungkin mereka mahu dapatkan kain kapan atau tali pengikat jenazah, kubur ini pun masih baru,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Dzulkhairi berkata, polis yang dihantar ke lokasi kejadian turut memaklumkan ada menemui satu penggali tanah, sebilah pisau di tebing lubang kubur dan sebilah lagi pisau dalam lubang kubur terbabit yang dipercayai bukan milik tanah perkuburan itu.

“Pada jam 9 pagi, ahli jawatankuasa masjid telah menjalankan pemeriksaan dan mendapati ada sebuah kubur digali sehingga ke liang lahad dan menampakkan kain kapan.

"Kubur yang digali menempatkan jenazah seorang lelaki Melayu beragama Islam, berusia 58 tahun yang meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya pada November tahun lalu.

"Lokasi tanah perkuburan ini terletak kira-kira 700 meter dari rumah penduduk dan dipercayai mungkin dilakukan lebih daripada seorang," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh tanah perkuburan.