Niat tahajud untuk mudah bangun sahur

Limah yang tinggal bersendirian memegang pintu rumahnya yang rosak dan hanya berdoa serta tawakal kepada ALLAH supaya dilindungi daripada sebarang gangguan manusia, jin dan syaitan.
A
A

ALOR GAJAH - "Niat nak bangun tahajud, Insya-ALLAH akan terjaga dengan sendirinya untuk bangun sahur," kata warga emas, Limah Hamzah, 84, dari Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah di sini.

Limah yang tinggal bersendirian sejak kematian suami sekitar tahun 2000 tidak pernah menggunakan jam loceng atau sebarang peralatan untuk bangun setiap kali Ramadan.

Dia yang lebih mesra dipanggil uwan mengamalkan niat sebelum tidur untuk bangun solat sunat tahajud selain mengamalkan sunnah mudah dengan membaca surah 'tiga Qul' sebelum melelapkan mata.

Menurutnya, walaupun usia lanjut, dia bersyukur masih boleh menulis dan membaca dan nikmat itu dimanfaatkan dengan membaca al-Quran setiap hari termasuk membaca 10 ayat surah Al-Mulk dan juga Al-Khafi yang dianggap petua untuk menerangkan mata dan menguatkan daya ingatan.

"Selepas terjaga dari tidur dia akan menunaikan solat sunat sebelum bersahur sama ada sambal atau ikan goreng. Bila tinggal seorang diri memang tiada yang kejutkan untuk bangun sahur, tapi seperti Ramadan sebelum ini uwan hanya niat nak bangun tahajud dan sebelum azan subuh uwan akan terjaga.

"Selalunya uwan akan makan satu lauk saja dan itu yang mampu uwan lakukan sebab yang penting uwan dapat berpuasa dan melakukan rukun Islam," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati (kiri) ketika menyantuni Limah pada Ziarah Kasih di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah.
Mas Ermieyati (kiri) ketika menyantuni Limah pada Ziarah Kasih di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah.

Limah berkata, biarpun tinggal bersendirian namun tidak pernah berasa takut walaupun salah satu pintu papan rumah sudah lama tercabut dan usang kerana yakin ALLAH sentiasa melindungi dirinya daripada sebarang bencana.

"Selain baca ayat suci setiap hari, doa juga penting dan selalulah berdoa supaya dilindungi daripada sebarang kejahatan serta gangguan manusia, jin dan syaitan serta bertawakal kepada ALLAH.

"Jangan pernah berasa puas hati dalam berdoa dan wan percaya ALLAH Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segalanya," katanya yang mengharapkan bertemu dengan lailatul qadar.

Limah yang mempunyai lima orang anak termasuk seorang lelaki juga tidak mahu menyusahkan anak-anaknya yang sudah berkeluarga dan berdikari untuk menguruskan diri selagi ada kudrat.

Sementara itu, Mas Ermieyati yang turut menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur meminta wakilnya membantu membaiki pintu papan Limah yang rosak demi keselamatan warga emas itu.

"Usaha turun padang mendekati golongan kurang bernasib baik akan terus dilakukan dan setiap minggu kita memilih sembilan rumah penduduk di kawasan yang berasingan," katanya.