Sesi pendengaran atlet olahraga gagal doping bulan depan - Adamas

Azura ditemui media selepas majlis perasmian 2023 ASEAN Doping Control Officer Symposium di ibu kota pada malam Rabu. - Foto Bernama
Azura ditemui media selepas majlis perasmian 2023 ASEAN Doping Control Officer Symposium di ibu kota pada malam Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET olahraga yang gagal ujian doping pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Februari lepas, dijadual menjalani sesi pendengaran kes pada awal bulan depan.

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Azura Abidin bagaimanapun berkata, pihak jawatankuasa panel pendengaran kes berkenaan masih menunggu tarikh sesuai untuk melaksanakan sesi itu.

"Kami jangka sesi pendengaran kes atlet itu diadakan pada minggu pertama September ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersempena Simposium ASEAN Pegawai Kawalan Doping di Kuala Lumpur malam Rabu.

Azura berkata, sekiranya didapati bersalah, atlet terbabit boleh dijatuhkan hukuman maksimum penggantungan dua tahun susulan pengambilan bahan terlarang dalam kejohanan itu.

Bulan lepas, media melaporkan bahawa atlet terbabit telah menolak untuk mencabar ujian sampel B dan memilih untuk proses pendengaran dijalankan ke atasnya.

Jun lepas, Adamas mengumumkan kegagalan ujian doping melibatkan seorang atlet olahraga pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil itu.

Tanpa mendedahkan butiran atlet, Adamas mengesahkan bahawa keputusan doping itu positif terhadap penggunaan bahan terlarang bagi bahan "sibutramine''.

Berikutan itu, atlet tersebut digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr K Nagulendran berkata, antara objektif penganjuran simposium dua hari itu adalah membuktikan komitmen Malaysia sebagai negara yang menyokong amalan budaya bersukan lebih bersih serta adil dengan memantapkan barisan pegawai kawalan doping serantau.

Katanya, simposium yang berakhir esok disertai 120 pegawai kawalan doping dari negara Asia Tenggara termasuk rakan dialog dari Jepun serta Korea Selatan selain mendapat kerjasama agensi antarabangsa seperti Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) dan Pertubuhan Anti-Doping Serantau Asia Tenggara (SEARADO). - Bernama