Kerjasama Pas, UMNO sama seperti Tun M dan Anwar: Pemuda Pas

Ahmad Fadhli
A
A

KOTA BHARU - Pas tidak hairan dengan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kerjasama di antara Pas dengan UMNO walaupun pernah menjadi seteru politik.

Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, andai Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh berbaik, jadi tidak pelik jika Pas dan UMNO juga boleh bekerjasama.

“Walaupun Pas dan UMNO pernah menjadi seteru satu ketika dulu, tetapi Pas tidak pernah melabelkan mana-mana pemimpin UMNO sebagai peliwat dan tidak pernah menghumban masuk mana-mana pemimpin UMNO masuk penjara kerana tuduhan meliwat.

“Jika ‘seseorang’ pernah menuduh orang lain sebagai peliwat, kemudian boleh bekerjasama kembali dengan orang yang dituduh itu, apa peliknya kerjasama Pas dengan UMNO ini?

“Kerjasama ini adalah untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) yang terbukti jelas telah memungkiri janji-janji mereka kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan kritikan Dr Mahathir kepada kedua-dua parti itu selain turut mempertikaikan sikap berdiam diri Pas mengenai skandal yang dikaitkan dengan kerajaan BN sebelum ini.

"Berhubung skandal yang dikaitkan dengan kerajaan BN, Pas tidak pernah berdiam diri dan sentiasa mengalu-alukan sebarang siasatan oleh kerajaan PH.

"Kerajaan boleh melakukan siasatan daripada ‘A to Z’ tanpa sebarang syak wasangka dan tanpa sebarang halangan," katanya lagi.

Ahli Parlimen Pasir Mas ini berkata, Pas tiada halangan untuk kerajaan menyiasat skandal ini.

"Walau apa pun bagi kita, sebenarnya yang sedang ketakutan sekarang ini ialah pemimpin PH itu sendiri kerana mereka sedar bahawa tempoh mereka berkuasa semakin pendek.

“Insya-ALLAH selepas PRU15 nanti, mereka akan kembali berada di kerusi pembangkang kerana dihukum oleh rakyat itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir menerusi ucapan perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu semalam menyatakan kehairanan bagaimana Pas dan UMNO boleh bergabung dan bekerjasama.

beliau berkata, semua tahu UMNO selama ini telah dikafirkan oleh Pas dan pemimpin Pas terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menarik balik amanatnya.

"Kerana itu bertahun-tahun lamanya sehinggalah ke Pilihan Raya Umum ke-14, orang Melayu yang percaya kepada Pas tidak akan mengundi UMNO walaupun di kerusi yang Pas tidak bertanding.

"Mereka lebih rela mengundi DAP, PKR, PBS dan mana-mana parti pimpinan orang Islam ataupun tidak, asalkan bukan UMNO," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia