LBS catat untung bersih kukuh pada suku kedua

Jualan hartanah keseluruhan sebanyak RM1.09 bilion hingga 15 Ogos 2023

A
A
A

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, LBS telah melaporkan pendapatan yang memberangsangkan pada suku tahun ini.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, LBS telah melaporkan pendapatan yang memberangsangkan pada suku tahun ini.

PETALING JAYA – Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengumumkan hasil suku kedua bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (Q2FYE2023), semalam.

Bagi suku dalam tinjauan, LBS mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM57.2 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM36.7 juta, peningkatan tahun ke tahun masing-masing sebanyak 8.0 peratus dan 10.7 peratus bagi Q2FYE2023.

Berdasarkan laporan pendapatan sebanyak RM375.4 juta, LBS dilihat memaparkan prestasi kewangan yang kukuh meskipun berhadapan cabaran industri seperti peningkatan tekanan inflasi.

Bagi enam bulan berakhir pada 30 Jun 2023 (6MFYE2023), syarikat berkenaan meraih keuntungan sebanyak RM760.3 juta. Sementara itu, PAT meningkat sebanyak 9.1 peratus kepada RM73.1 juta daripada RM67.0 juta berbanding tahun sebelumnya.

Sehingga 30 Jun 2023, jumlah dan kesetaraan tunai LBS yang direkodkan adalah sebanyak RM258.4 juta.

LBS turut mengumumkan bahawa pada 15 Ogos 2023, mereka telah memperoleh jumlah jualan hartanah sebanyak RM1.09 bilion dengan tempahan dalam perancangan sebanyak RM373 juta.

Artikel Berkaitan:

Pada 31 Julai 2023, LBS mempunyai bank tanah sejumlah 2,916 ekar untuk pembangunan di masa hadapan dengan jualan tanpa bil yang dianggarkan berjumlah RM2.50 bilion. Pencapaian ini dijangka memberi pendapatan yang kukuh bagi bagi dua hingga tiga tahun akan datang.

Mengulas mengenai keputusan ini, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, LBS telah melaporkan pendapatan yang memberangsangkan pada suku tahun ini.

Ujarnya, prestasi Syarikat yang konsisten pada suku ini dan sebelumnya merupakan satu kenyataan jelas bahawa kami berada di landasan yang tepat.

“LBS berharap untuk terus mengekalkan momentum kami untuk baki separuh kedua tahun 2023.

“Sejumlah lapan projek dijangka akan siap dibina dan diserahkan pada separuh kedua tahun 2023 di mana ini dijangka akan merangsang keuntungan dan meningkatkan kedudukan tunai LBS.

“Di samping itu, syarikat akan terus giat melancarkan projek mengikut perancangan,” katanya.

Jelas Hock San lagi, LBS telah melancarkan hartanah dengan GDV sebanyak RM1.45 bilion pada tahun ini dan merancang untuk melancarkan projek berjumlah RM1.64 bilion untuk baki tahun 2023.

“Kadar pengambilan hartanah kami juga dilihat amat menggalakkan, terutamanya di kawasan Lembah Klang, menunjukkan bahawa projek-projek kami dimajukan di lokasi strategik dengan penetapan harga pembangunan dilakukan mengikut sasaran demografi.

“Berikutan pengumuman terkini Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, LBS kekal waspada dan terus merancang secara berhati-hati di dalam mencapai sasaran jualan 2023 kami iaitu sebanyak RM2 bilion.

“LBS akan terus memfokuskan pelan pertumbuhannya di samping memberi keutamaan kepada pemegang saham sekaligus mengangkat LBS ke tahap yang lebih tinggi," katanya.