Bersatu tidak puas hati agihan jawatan Exco Kedah

Bersatu - Gambar hiasan
Bersatu - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Terdapat desas-desus ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah mengenai pelantikan barisan Exco kerajaan negeri yang akan berlangsung pada Isnin di Istana Anak Bukit.

Difahamkan isu berkenaan tercetus apabila hanya tiga jawatan Exco diperuntukkan kepada parti berkenaan berbanding lima jawatan sebelum ini.

Difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad dijangka dilantik semula ke jawatan Exco, selain dua muka baharu dari Bersatu.

Sumber dalaman Bersatu melahirkan kekesalan apabila hanya tiga wakil parti itu bakal dilantik ke jawatan Exco selepas menyumbang 11 kerusi dalam kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Kedah pada 12 Ogos lalu.

Petugas media pada awalnya turut dimaklumkan bahawa Bersatu Kedah akan mengadakan sidang media berkaitan ketidakpuasan pelantikan Exco di Pejabat mereka. Bagaimana pun sidang media terbabit dibatalkan pada saat-saat akhir.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini memaklumkan wakil tunggal Gerakan yang menang dalam PRN di Kedah boleh dilantik sebagai Exco kerajaan negeri.

Beliau berkata, wakil parti itu, Wong Chia Zhen, yang menang di kerusi DUN Kulim akan dipertimbang untuk mengisi portfolio bersesuaian.

Artikel Berkaitan: