Padah 'merempit' malam Ramadan

Polis mengeluarkan 97 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi di Jalan Bandat Tasik Puteri, Gombak malam tadi.
Polis mengeluarkan 97 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi di Jalan Bandat Tasik Puteri, Gombak malam tadi.
A
A
A

GOMBAK - Sebanyak 97 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas membabitkan penunggang motosikal di Jalan Bandar Tasik Puteri, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, operasi bermula jam 9 malam itu bertindak hasil aduan serta rungutan penduduk di kawasan terbabit berhubung aktiviti menunggang motosikal membabitkan remaja bawah umur semenjak awal Ramadan hingga menyebabkan ketidakselesaan jemaah ke masjid.

Menurutnya, operasi terdiri daripada dua pegawai serta 30 anggota ini telah menahan sebanyak 30 buah motosikal yang ditunggang dalam keadaan berbahaya.

"Polis telah mengeluarkan sebanyak 97 saman hasil pemeriksaan terhadap seramai 40 penunggang termasuk pembonceng berusia lingkungan 13 hingga 24 tahun.

"Pelbagai kesalahan direkodkan antaranya tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar, cukai jalan tamat tempoh serta kesalahan nombor plat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kesemua mereka yang ditahan ini terdiri daripada remaja sekolah, sudah bekerja dan penganggur.

Katanya, bagaimanapun, kesemua mereka ini dibebaskan setelah selesai proses dokumentasi.

"Polis Gombak khususnya akan terus memantau aktiviti seumpama ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya. Kita memohon kerjasama orang ramai untuk memantau kegiatan anak masing-masing agar tidak terlibat dalam kegiatan atau aktiviti yang tidak sihat ini di samping menyalurkan maklumat berhubung perlakuan seumpama ini jika berlaku di kawasan kejiranan masing-masing di sekitar daerah Gombak," katanya.

Artikel Berkaitan: