Messi pacu Miami julang Piala Liga

Messi mengemudi Miami menjulang Piala Liga setelah menewaskan Nashville 10-9 menerusi sepakan penalti dalam aksi final di Nashville pada Ahad. Foto AFP.
Messi mengemudi Miami menjulang Piala Liga setelah menewaskan Nashville 10-9 menerusi sepakan penalti dalam aksi final di Nashville pada Ahad. Foto AFP.
A
A
A

BINTANG sensasi, Lionel Messi memacu kelab baharunya, Inter Miami untuk menggondol trofi pertama setelah mengalahkan Nashville dalam aksi final Piala Liga 2023 pada Ahad.

Kejayaan itu bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila perlawanan terpaksa diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Kemenangan 10-9 menerusi sepakan penalti menjulang Miami untuk merangkul trofi pertama sejak penubuhan kelab itu pada 2018.

“Ia sesuatu yang istimewa dan saya bertuah dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” kata Messi.

Dalam aksi itu, Messi meletakkan Miami di depan menerusi gol pada minit ke-24 sebelum Fafa Picault menyamakan kedudukan pada babak kedua.

Messi hampir menambah gol kedua The Herons pada minit ke-70.

Malangnya, percubaan Messi dari luar kotak penalti terkena tiang sebelum berjaya dikeluarkan pertahanan Boys In Gold.

Selepas Leonardo Campana terlepas peluang meledak gol kemenangan Miami, perlawanan berlanjutan ke penentuan penalti.

Artikel Berkaitan:

Menariknya kedua-dua penjaga gol bertembung sesama sendiri, namun sepakan Elliot Panicco diselamatkan oleh penjaga gol Miami, Drake Callender.

Miami yang beraksi dalam musim ketiga berada di tangga tercorot Liga Bolasepak Utama (MLS) ketika Messi menyertai mereka bulan lalu.

Messi kemudian memimpin pasukan untuk mengharungi saingan tanpa sebarang kekalahan dan memenangi Piala Liga.

Pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu sudah menyumbat 10 gol dalam tujuh penampilan bersama Miami dan berpeluang mara ke satu lagi perlawanan akhir apabila pasukannya bertemu Cincinnati pada separuh akhir Piala Terbuka Amerika Syarikat.