PN menguasai teras politik Malaysia - Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang. - Foto Bernama
Abdul Hadi Awang. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, Perikatan Nasional (PN) menguasai teras politik negara, berbanding kerajaan pusat yang terasnya rapuh.

Menurutnya, ia berdasarkan nisbah sokongan yang tinggi daripada golongan Melayu Islam dan bumiputera diperoleh gabungan tersebut.

"Pencapaian PRN (pilihan raya negeri) di enam negeri menunjukkan keadaan yang lebih maju sehingga PN berjaya memperoleh 146 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) iaitu Pas (105 kerusi), Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) 40 kerusi, dan Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) satu kerusi.

"Berbanding gabungan PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional) yang mendapat 99 kerusi (DAP-46, PKR-26, UMNO-19, PAN-8).

"Pas juga berjaya memerintah tiga buah negeri bersama Perlis dengan majoriti yang besar. Ini menunjukkan nisbah sokongan yang tinggi daripada golongan Melayu Islam dan bumiputera, berbanding pihak PH dan BN yang mendapat sokongan kaum bukan Islam yang ekstrem," katanya menerusi hantaran 'Minda Presiden Pas' di Facebook miliknya pada Sabtu.

Tambah beliau, banyak kenyataan dikeluarkan yang mengharamkan sebarang usaha untuk menukar kerajaan PH yang ada di pusat, walaupun halalnya penuh syubhah.

"Sedangkan mereka dahulu berusaha menggulingkan kerajaan melalui proses demokrasi syubhah secara jalanan yang menyusahkan rakyat, sehingga bertempur dengan anggota keselamatan yang tidak bersalah demi mencapai cita-cita berjenama demokrasi yang penuh syubhah itu.

"Rakyat mesti berwaspada, apabila menerima pukulan yang cukup menyakitkan dalam pilihan raya di enam negeri baru-baru ini malah merosot sokongan terhadap mereka di negeri-negeri yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Penyakit gila kuasa, sehingga sanggup mempertahankan kuasanya tanpa mempunyai kesabaran mengawal diri sehingga boleh melakukan apa sahaja. Mereka itu laksana orang yang lemas sehingga memeluk sesiapa yang menolongnya untuk mati bersama atau memeluk batu yang disangkakan pelampung penyelamat," dakwanya lagi.

Justeru, Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan barisan pemimpin PN berhati-hati terhadap lawan, serta menerima kejayaan dengan penuh rasa syukur kepada ALLAH SWT, tanpa leka di negeri yang dapat diperintah dan di kawasan yang dapat menjadi wakil rakyat.

"Teruskan kerja dan melangkah ke hadapan dengan tenang. Jangan panik dengan kenyataan provokasi daripada pihak lawan yang kepanasan kerana merosot sokongannya, walaupun mereka masih berkuasa di peringkat kerajaan pusat.

"Tinggikan tahap kesabaran supaya tidak terperangkap dalam kenyataan dan tindakan provokasi yang mengheret kepada berlakunya huru-hara," katanya.