Konvoi Perpaduan Malaysia Madani santuni masyarakat, kibar Jalur Gemilang

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud (kanan) melepaskan peserta konvoi Perpaduan Malaysia MADANI sempena sambutan Bulan Kebangsaan ke-66 di Presint 3 hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud (kanan) melepaskan peserta konvoi Perpaduan Malaysia MADANI sempena sambutan Bulan Kebangsaan ke-66 di Presint 3 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Konvoi Perpaduan Malaysia Madani yang bertujuan menghidupkan dan menyemarakkan Bulan Kebangsaan mampu memupuk semangat patriotisme dalam jiwa setiap lapisan masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Che Roslan Che Daud berkata konvoi yang disertai 66 orang itu melambangkan 66 tahun kemerdekaan negara akan mengagihkan Jalur Gemilang dan menyantuni rakyat di sepanjang laluan.

"Tujuan konvoi adalah untuk menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan sentiasa menghidupkan (suasana) dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

"Kita akan serahkan Jalur Gemilang di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) supaya dapat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang seiring dengan hasrat kerajaan untuk menyemarakkan Bulan Kebangsaan dengan pengibaran Jalur Gemilang," katanya kepada media sewaktu majlis pelepasan konvoi itu di sini pada Sabtu.

Che Roslan yang akan mengetuai konvoi itu berkata pelbagai aktiviti turut diisi sepanjang perjalanan termasuk kempen budi bicara #cakapbaikbaik, penyampaian bakul Rahmah dan gotong-royong.

Beliau berkata, konvoi itu juga bertujuan menyuburkan rasa tanggungjawab terhadap keamanan negara serta menghargai kemakmuran yang diwarisi daripada pemimpin terdahulu.

Program dua hari itu disertai 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi termasuk 10 wanita, dan 36 urus setia.

Bermula di Putrajaya, konvoi itu akan melalui Sepang di Selangor, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan berakhir di Alor Gajah, Melaka.

Sementara itu, seorang peserta Mastura Mohd Yusoff, 36, berkata program itu akan menaikkan semangat rakyat Malaysia terutama anak muda.

Artikel Berkaitan:

"Kita baru selesai program 'Ride 7 Masjid' tetapi tetap semangat dengan konvoi perpaduan anjuran JPNIN kerana dapat bersama-sama menyemarakkan Bulan Kebangsaan dalam kalangan masyarakat," kata Mastura yang juga pengerusi Kelab Kakak Motor Besar.

Beliau berkata aktiviti konvoi motosikal berkuasa tinggi terutama golongan wanita sering dipandang serong, namun ia dapat mendidik masyarakat tentang keselamatan dan peraturan jalan raya. - Bernama.