Jururawat didapati bersalah bunuh tujuh bayi di hospital

Laporan polis menunjukkan Letby menyuntik bayi dengan udara dan susu berlebihan selain meracuni mereka dengan insulin.
Laporan polis menunjukkan Letby menyuntik bayi dengan udara dan susu berlebihan selain meracuni mereka dengan insulin.
A
A
A

LONDON - Seorang jururawat Lucy Letby didapati bersalah membunuh tujuh bayi dalam unit neonatal ketika bekerja di Hospital Countess of Chester di barat laut England, kata polis pada Jumaat.

Susulan siasatan selama dua tahun, Polis Cheshire menahan jururawat berusia 33 tahun itu pada Julai 2018 di rumahnya dan pada awalnya membebaskannya dengan ikat jamin. Beliau ditangkap tiga kali lagi pada tahun-tahun berikutnya sebelum didakwa pada November 2020.

Siasatan bermula apabila terdapat peningkatan kejadian bayi hampir maut dan kematian bayi pramatang yang tidak dapat dijelaskan di hospital tempat wanita itu bekerja sebagai jururawat dari Jun 2015 hingga Jun 2016, lapor Agensi Anadolu.

Laporan polis menunjukkan Letby menyuntik bayi dengan udara dan susu berlebihan selain meracuni mereka dengan insulin.

Selepas perbicaran yang bermula pada Oktober 2022, beliau disabitkan bersalah membunuh tujuh bayi dan cuba membunuh enam bayi lain. Hakim kes itu turut mengeluarkan sekatan pelaporan sehingga perbicaraan selesai.

Pegawai penyiasat kanan Paul Hughes berkata: "Ini adalah siasatan tidak seperti yang lain - dalam skop, kerumitan dan magnitud. Kami terpaksa mengendalikannya sebagai 17 penyiasatan berasingan - kami biasanya terbiasa mengendalikan satu penyiasatan pembunuhan atau percubaan pembunuhan pada satu masa, apalagi sesuatu yang sebesar ini."

"Hari ini, keadilan telah ditegakkan. Tetapi keadilan ini tidak akan menghapuskan rasa sakit, kemarahan, dan kesusahan yang kami semua terpaksa alami," kata penyelaras perhubungan keluarga, Janet Moore semasa membacakan kenyataan bagi pihak keluarga mangsa di luar Mahkamah Crown Manchester.

Sementara itu, sebagai pembunuh bersiri kanak-kanak paling prolifik di Britain, Letby akan dijatuhi hukuman di mahkamah yang sama pada Isnin. - Bernama.

Artikel Berkaitan: