Banjir bukan lagi ikut musim

Keadaan banjir kilat yang berlaku ekoran hujan lebat di sekitar Seksyen 13 Shah Alam baru-baru ini. - Foto Bernama
Keadaan banjir kilat yang berlaku ekoran hujan lebat di sekitar Seksyen 13 Shah Alam baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

WARGA kota khasnya Shah Alam, sekali lagi dikejutkan dengan kejadian banjir kilat yang berlaku di Seksyen 13 pada petang Rabu lalu.

Ia berikutan hujan lebat lebih daripada sejam sehingga membanjiri kawasan perniagaan dan jalan raya berdekatan Stadium Malawati.

Beberapa buah kereta juga dilaporkan tersangkut dan gagal dikeluarkan akibat air melimpah dengan cepat.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.40 hingga 4.37 petang.

Beliau berkata, antara kawasan terlibat ialah laluan Jalan Persiaran Sukan dan laluan bulatan Stadium Shah Alam menghala bangunan Acappella.

Banjir kilat itu turut melanda Jalan Surau Munawwarah sehingga persimpangan lampu isyarat jalan tersebut, persimpangan lampu isyarat Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, laluan jalan berhampiran bangunan lama Management and Science University (MSU) dan laluan di Pangsapuri Perdana.

Dilaporkan punca kejadian disebabkan kegagalan fungsi sistem pam dan tindakan membaik pulih dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu, laman web Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan setakat jam 4.50 petang Rabu, Sungai Damansara di Batu Tiga, Shah Alam melebihi paras amaran.

Artikel Berkaitan:

Ia merekodkan bacaan 5.35 meter (m) berbanding bacaan normal iaitu 2.7 m dan masih menunjukkan trend meningkat ketika ini.

Situasi itu sedikit sebanyak menggamit memori pahit buat warga Shah Alam dan Klang yang pernah berdepan musibah banjir terburuk pada penghujung tahun 2021. Kejadian yang dikategorikan sebagai bencana itu telah meragut kira-kira 50 nyawa.

Bagi penduduk di Taman Sri Muda pula, banjir 2021 meninggalkan trauma buat mereka kerana ada yang terpaksa bermalam sehelai sepinggang lebih 24 jam di atas bumbung rumah tanpa makanan.

Sehingga kini, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan dan orang ramai bagi menghadapi musibah kerana banjir pada zaman sekarang tidak sama lagi seperti dahulu.

Semua pihak perlu berwaspada dan peka dengan perubahan alam. Mereka juga dinasihatkan agar sentiasa memantau kemas kini laman web JPS termasuk MetMalaysia bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca.