APM Pahang hasil Jalur Gemilang gergasi guna kain terpakai

Upacara merentang gegantung Jalur Gemilang gergasi yang menjadi simboli Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat APM Pahang pada Khamis.
Upacara merentang gegantung Jalur Gemilang gergasi yang menjadi simboli Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat APM Pahang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang mencipta kelainan dalam meraikan sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini dengan menghasilkan gegantung Jalur Gemilang gergasi menggunakkan kain terpakai.

Gegantung Jalur Gemilang bersaiz 4x16 meter yang kini menghiasi menara ibu pejabat APM Pahang dekat sini dihasilkan oleh lebih 200 peserta terdiri daripada anggota, pelajar Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA) dan guru dari 15 sekolah di sekitar daerah ini.

Upacara merentang gegantung unik itu turut menjadi simbolik kepada Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat APM Pahang pada Khamis.

Pengarah APM Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, proses menghasilkan gegantung Jalur Gemilang itu dimulakan sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, peserta terlibat diberi tugas untuk mengumpul kain-kain terpakai mengikut warna Jalur Gemilang sebelum dipilih untuk dijahit.

"Keseluruhan kain yang digunakan daripada kain terpakai termasuk baju kurung, baju Melayu dan sebagainya.

"Kain-kain yang dikumpul dipilih terlebih dahulu mengikut warna dan jenis kain sebelum dijahit," katanya.

Che Adam bersama guru dan pelajar yang terlibat dalam menghasilkan gegantung Jalur Gemilang gergasi yang direntang sebagai simbolik Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat APM Pahang pada Khamis.
Che Adam bersama guru dan pelajar yang terlibat dalam menghasilkan gegantung Jalur Gemilang gergasi yang direntang sebagai simbolik Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat APM Pahang pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Che Adam berkata, proses menjahit dilakukan di pejabat APM dan mengambil masa dua hari untuk disiapkan.

"Allhamdulillah, proses penghasilan gegantung ini berjalan lancar dan berjaya digantung hari ini (Khamis) sempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat APM Pahang.

"Ia akan digantung sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan dan menjelang sambutan Hari Malaysia, 16 September depan.

"Gegantung Jalur Gemilang gergasi ini satu kebanggaan bagi kami warga APM dan semua peserta terlibat kerana ia mungkin antara yang terbesar di negeri ini," ujarnya.

Sementara itu, rata-rata pelajar yang terlibat mengakui teruja dan bangga apabila berpeluang untuk bersama-sama APM Pahang menghasilkan gegantung Jalur Gemilang gergasi itu.

Nurul Qamarina, Zarith Hakeem, dan Norakma Dayana
Nurul Qamarina, Zarith Hakeem, dan Norakma Dayana



Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, Zarith Hakeem Suzaidi,17, berkata, terpilih sebagai antara peserta untuk menghasilkan gegantung Jalur Gemilang gergasi itu satu kebanggaanya baginya.

Menurutnya, selain menzahirkan semangat patriotik, usaha itu juga satu pengalaman yang cukup bermakna baginya.

"Ini kali pertama saya terlibat dalam program sebegini dan gembira apabila dapat sama-sama menjayakannya," katanya yang juga ahli KASPA SMK Bukit Rangin.

Sementara itu, ahli KASPA SMK Alor Akar di sini, Norakma Dayana Norazam, 14 dan rakannya, Nurul Qamarina Ismail, 14 turut berkongsi perasaan sama.

Bagi mereka, sambutan Bulan Kemerdekaan kali ini cukup bermakna apabila dapat membantu menghasilkan gegantung itu dan melihatnya tergantung megah di menara ibu pejabat APM Pahang itu.