Malaysia boleh main peranan galak keamanan di Ukraine - Merezhko

Para peserta mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk orang awam selama lima hari, di Kiev pada Jumaat, di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. - Foto AFP
Para peserta mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk orang awam selama lima hari, di Kiev pada Jumaat, di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam menggalakkan keamanan di Ukraine dengan menyokong 'formula perdamaian' 10 perkara yang diumumkan oleh Presiden Volodymyr Zelensky bertujuan menangani pencerobohan Rusia di wilayah Ukraine.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Hubungan Antara Parlimen, Parlimen Ukraine, Oleksandr Merezhko berkata, Malaysia boleh mengambil bahagian dalam pelaksanaan formula keamanan itu dengan menghadiri 'sidang kemuncak keamanan' Ukraine yang akan diadakan hujung tahun ini di tempat yang akan ditentukan kemudian.

"Saya percaya dari segi diplomasi antara Parlimen dan dasar luar, Malaysia mempunyai potensi besar dan harus memainkan peranan lebih besar dalam arena antarabangsa.

"Kami berharap Malaysia boleh menjadi peserta aktif sidang kemuncak keamanan ini di mana ia akan membincangkan isu keamanan dan keselamatan secara umum,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Oleksandr Merezhko
Oleksandr Merezhko

Merezhko sedang dalam lawatan lima hari ke Malaysia yang berakhir pada Selasa (15 Ogos) selepas Indonesia sebagai sebahagian daripada lawatan diplomatiknya ke ASEAN.

"Sidang kemuncak keamanan," seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa, adalah usaha bersama oleh Zelensky dan sekutunya untuk mendapatkan sokongan bagi resolusi yang boleh menamatkan konflik yang berpunca daripada pencerobohan berskala penuh Rusia hampir 18 bulan lalu.

Inisiatif itu dibuat berdasarkan pelan 10 perkara yang digariskan oleh Zelensky, merangkumi aspek penting seperti pemulihan integriti wilayah Ukraine, pengunduran tentera Rusia, pembebasan semua tahanan, penubuhan tribunal untuk mempertanggungjawabkan mereka yang terbabit dalam pencerobohan tentera dan penyediaan jaminan keselamatan untuk Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Merezhko juga menekankan implikasi formula keamanan melangkaui sempadan Ukraine, menekankan bahawa formula keamanan bukan hanya untuk kepentingan Ukraine tetapi negara lain seperti Malaysia, yang mengambil berat keamanan dan ketenteraman antarabangsa.

Pencerobohan Rusia yang bermula pada 24 Februari 2022, telah menyebabkan kehilangan nyawa di kedua-dua belah pihak, dengan lebih 8.5 juta rakyat Ukraine dilaporkan telah meninggalkan negara itu - mewujudkan krisis pelarian terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Sambil melahirkan rasa terima kasih bagi pihak negaranya, Merezhko mengiktiraf sokongan Malaysia melalui undian untuk resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertujuan menamatkan pencerobohan Rusia di Ukraine.

Ahli Parlimen Ukraine itu menegaskan komitmen Malaysia untuk menegakkan undang-undang dan keamanan antarabangsa melalui pendiriannya.

Merezhko juga menyampaikan jemputan kepada pelabur dan ahli perniagaan Malaysia, menggesa mereka untuk mengambil bahagian secara aktif dalam usaha pembinaan semula dan pemulihan pasca konflik di Ukraine, menyatakan harapan konflik Rusia-Ukraine ditamatkan menjelang akhir tahun atau selewat-lewatnya, tahun berikutnya.

"Penyertaan Malaysia dalam usaha pembinaan semula dan pemulihan Ukraine adalah penting.

"Pembinaan semula dan pemulihan semula di Ukraine akan mengambil masa berpuluh-puluh tahun, dan kami memerlukan pelaburan dan kepakaran daripada Malaysia dalam usaha pembinaan semula, yang saya percaya harus bermula sekarang dan bukan menunggu sehingga perang tamat.”

Merezhko turut menekankan aspek lain seperti infrastruktur awam dan perumahan yang memerlukan pemulihan akibat konflik itu. - Bernama