UMNO Perak pertahan Zahid

Saarani (dua dari kiri) ketika sidang akhbar sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak Siri 7 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia di Ipoh pada Rabu.
Saarani (dua dari kiri) ketika sidang akhbar sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak Siri 7 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia di Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - UMNO Perak sebulat suara menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengekalkan jawatan presiden parti itu di sebalik pelbagai desakan meletakkan jawatan kerana kekalahan besar UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, faktor prestasi buruk UMNO dalam PRN di enam negeri bukanlah alasan yang kuat untuk Ahmad Zahid melepaskan jawatan tersebut.

Menurutnya, kekalahan dalam pilihan raya bukan hanya dihadapi oleh UMNO semata-mata tetapi pernah berlaku kepada parti-parti lain sebelum ini.

"Semalam (Selasa) saya mengadakan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri yang sebulat suara kita mempertahankan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan jawatan sebagai presiden.

Hujahnya, berpuluh-puluh tahun DAP tak menang pilihan raya, tak ada pun orang desak Tan Sri Lim Kit Siang letak jawatan. Berpuluh tahun Pas tak menang pilihan raya, kalah berkali-kali, tak ada pula orang menuntut Datuk Seri Abdul Hadi Awang letak jawatan.

"Semasa PRN Johor, BN menang. Masa itu tak ada pula mana-mana parti lain mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin letak jawatan dan paling penting saya semak baru-baru ini daripada bilangan kerusi dipertandingkan pada PRN itu, 18 kerusi daripada PN (Perikatan Nasional) hilang deposit, tak ada calon UMNO hilang deposit. Tapi kenapa tak ada orang menuntut supaya pengerusi PN letak jawatan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak Siri 7 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini.

Sementara itu, Saarani menyifatkan kebanyakan desakan supaya Ahmad Zahid meletakkan jawatan datang daripada bekas-bekas pemimpin UMNO yang tidak lagi menjadi ahli parti malah ada dalam kalangan mereka menyertai pembangkang.

Artikel Berkaitan:

"Kita tengok yang mendesak (Ahmad Zahid letak jawatan) ini ialah Tan Sri Annuar Musa. Dia bukan ahli UMNO, KJ (Khairy Jamaluddin) bukan ahli UMNO. Jadi orang-orang yang telah keluar dari UMNO, tumpukan pada parti baharu dialah, Tan Sri Annuar Musa tumpulah pada Pas... dia ahli Pas, jangan kacau UMNO. Saya pun berasa pelik orang yang keluar UMNO ini asyik komen pasal UMNO. Adakah itu dikatakan benci tapi rindu?

"Malah tak ada satu jaminan kalau Ahmad Zahid letak jawatan, orang Pas akan sokong UMNO, orang Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bubar Bersatu masuk UMNO. Kita tak akan menari ikut gendang mereka dan nasihat saya, orang UMNO tak perlu menari ikut gendang orang luar UMNO," katanya.

Pada PRN yang berlangsung 12 Ogos lalu, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya menang 19 daripadanya.

Pencapaian terbaik adalah di Negeri Sembilan dengan kemenangan di 14 daripada 17 kerusi DUN yang ditandingi.

Prestasi di Pulau Pinang dan Selangor kurang memberangsangkan apabila hanya menang dua kerusi.

Di Kelantan, parti itu hilang enam kerusi disandang dan kini hanya menguasai satu DUN, iaitu Galas, manakala di Kedah dan Terengganu, gagal meraih sebarang kerusi.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid meletak jawatan serta-merta, susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN itu.

Tamat

ARTIKEL BERKAITAN:

Zahid takkan letak jawatan kalau UMNO kalah teruk - Khairy

Ahmad Zahid perlu letak jawatan - Idris

Ahmad Zahid tidak perlu letak jawatan - Puad

Jangan jadikan Ahmad Zahid 'kambing hitam' - Nur Jazlan

‘Ini bukan kali pertama Presiden UMNO didesak berundur’ - Ahmad Zahid