'Umpan' wanita warga asing berhibur sebelum culik, peras ugut

Polis
Polis
A
A
A

SERDANG - Mengumpan wanita warga asing kononnya untuk berhibur sebelum memeras ugut dengan meminta wang antara taktik digunakan dua lelaki sebelum diberkas pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kedua-dua suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 31 dan 35 tahun.

"Laporan sebelum itu dibuat oleh seorang wanita mendakwa dua rakannya telah diculik selepas mengikut dua individu untuk berhibur.

"Wanita berkenaan menerima kiriman Wechat daripada suspek yang mengandungi gambar dua rakannya itu dalam keadaan tangan diikat selain mata ditutup, suspek turut meminta wang tebusan berjumlah RM20,000 untuk melepaskan mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, bagaimanapun kedua mangsa itu kemudiannya dilepaskan suspek setelah menyedari kegiatan mereka berjaya dikesan polis.

"Siasatan berdasarkan maklumat diterima kemudian membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek di sekitar kawasan Lembah Klang.

"Selain itu suspek terlibat ini turut dipercayai menjalankan beberapa kali kegiatan sama sebelum ini," katanya.

Menurutnya, semakan dijalankan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

"Suspek turut dikenal pasti dikehendaki oleh beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan kegiatan yang dijalankan.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan," katanya.

Ujar Anbalagan, mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mengalami situasi yang sama dinasihatkan untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.