Keputusan SPRM guna akta sendiri reman suspek dibatalkan

Mahkamah Rayuan pada Selasa membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang melarang pegawai SPRM menggunakan KTJ untuk menahan reman suspek bagi siasatan lanjut. - Gambar hiasan
Mahkamah Rayuan pada Selasa membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang melarang pegawai SPRM menggunakan KTJ untuk menahan reman suspek bagi siasatan lanjut. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Selasa membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang melarang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) untuk menahan reman suspek bagi siasatan lanjut.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan rayuan SPRM untuk mengetepikan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Roslan Mat Nor (kini Hakim Mahkamah Tinggi) bahawa suruhanjaya itu mesti menggunakan Akta SPRM 2009 untuk menahan reman suspek jika siasatan tidak selesai dalam tempoh 24 jam selepas penahanannya.

Semasa menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Vazeer berkata, Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf dalam mentafsir Seksyen 49 Akta SPRM.

"Kami dapati tiada peruntukan khusus dalam Akta SPRM mengenai perjalanan siasatan yang tidak selesai dalam tempoh 24 jam,” katanya

Beliau berkata, pegawai SPRM boleh menggunakan Seksyen 29(3) Akta SPRM dan memohon kepada Majistret untuk menahan reman suspek mengikut Seksyen 117 KTJ jika siasatan mereka tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam selepas penahanannya.

Alasan penghakiman Roslan yang bertarikh 11 Mei lepas memutuskan bahawa SPRM tidak boleh menggunakan KTJ untuk menahan reman suspek bagi siasatan lanjut dan mesti menggunakan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 yang memberikan suruhanjaya itu kuasa khusus untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, pegawai SPRM boleh membuat tangkapan di bawah Seksyen 49(2) Akta SPRM dan boleh memohon perintah reman di bawah Seksyen 49 (3) akta sama.

Dalam melaksanakan kuasa semakan, Roslan memutuskan bahawa perintah reman yang dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Temerloh terhadap enam anggota polis termasuk seorang Inspektor mengikut Seksyen 117 KTJ tidak mematuhi undang-undang dan justeru itu, mengetepikan perintah reman tersebut.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang mewakili SPRM, berhujah bahawa Roslan telah terkhilaf apabila memutuskan Seksyen 49 Akta SPRM adalah satu-satunya peruntukan yang boleh pegawai SPRM harapkan untuk siasatan dan menahan reman suspek.

Beliau berkata peruntukan di bawah Akta SPRM dan KTJ terpakai untuk sebarang siasatan yang dijalankan terhadap suspek bagi kesalahan di bawah Akta SPRM.

Peguam Datuk Geethan Ram, yang mewakili tiga daripada anggota polis terbabit, pula berhujah bahawa anak guamnya ditahan atas kesalahan yang didakwa dilakukan di bawah Akta SPRM dan oleh itu, peruntukan Akta SPRM terpakai bagi kes tersebut, bukannya KTJ.

Bagi tiga lagi anggota polis, peguam Revin Kumar Shasai Kumar, Lavanyia Raja dan Eu Kah Mun dilantik secara individu untuk mewakili mereka. - Bernama