Subsidi tiket penerbangan penuntut universiti bermula hari ini

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM300 untuk penuntut universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah dilaksanakan pada hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam satu kenyataan pada Selasa.

MOT berkata, selaras dengan itu, para pelajar universiti awam boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang kementerian di https://subsidiudara.mot.gov.my/.

"Setelah membuat semakan, pelajar yang layak boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan daripada mana-mana syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (termasuk MASwings dan FireFly), AirAsia, Batik Air dan MYAirline yang dipilih melalui laman sesawang syarikat penerbangan tersebut.

"Sekiranya pelajar didapati tidak layak, mereka boleh membuat semakan dan rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui universiti masing-masing," katanya.

Menurut MOT, buat masa ini, pelajar yang layak adalah mereka yang berdaftar di universiti awam sehingga tahun akademik 2022/2023 pada 30 Jun 2023.

"Setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan.

"Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya.

Artikel Berkaitan:

MOT berkata, tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Disember 2023.

"Namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

"Sempena sambutan bulan kebangsaan, bantuan ini adalah salah satu initiatif Kerajaan Perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

"Ia juga dapat menangani isu kos sara hidup selaras dengan aspirasi Malaysia Madani," ujarnya.