Kerajaan perlu bantu ubah persepsi santan kelapa - MARDI

Dari kiri: Azman, Mohd Zolkafly, Shahrul Zaman dan Mohamad Zabawi turut merasai santan kelapa yang disediakan sempena Majlis Pelancaran Kelapa Hibrid MARDI di MARDI Bagan Datuk di sini pada Isnin.
Dari kiri: Azman, Mohd Zolkafly, Shahrul Zaman dan Mohamad Zabawi turut merasai santan kelapa yang disediakan sempena Majlis Pelancaran Kelapa Hibrid MARDI di MARDI Bagan Datuk di sini pada Isnin.
A
A
A

BAGAN DATUK - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menggesa kerajaan meningkatkan promosi untuk mengubah persepsi tidak baik terhadap santan kelapa yang sebenarnya memberi manfaat kepada kesihatan.

Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail berkata, pelbagai kajian di dunia telah membuktikan bahawa santan kelapa amat baik kerana mengandungi Medium-Chain Triglyceride (MCT) yang turut berada di dalam susu ibu.

Menurutnya, MCT merupakan lemak yang penting dan paling sesuai dengan badan manusia berfungsi sebagai antiviral, antifungal, antibakteria dan antiparasit serta meningkatkan imuniti dalam sistem tubuh.

"Saya menyeru kepada kerajaan supaya mengubah persepsi terhadap lemak pemakanan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedar tentang perubahan ini dan menguar-uarkan kepada masyarakat. Kelapa merupakan sumber utama lemak yang baik.

"Lemak sangat penting untuk antioksidan, sumber nutrisi dan penyerapan zat vitamin. Lemak terbaik adalah santan dan minyak kelapa kerana ini anugerah tuhan kepada kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kelapa Hibrid MARDI di MARDI Bagan Datuk di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Azman berkata, selama ini terdapat banyak kekeliruan disebarkan mengenai lemak santan kelapa oleh mereka yang tidak memahami perkembangan sains terbaharu.

Menurutnya, beberapa negara lain sudah menyedari tentang kebaikan lemak santan malah di China serbuk santan tulen dari Malaysia antara produk paling laris dijadikan minuman di restoran.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, disebabkan permintaan yang tinggi terhadap santan kelapa tulen itu, syarikat Malaysia yang menghasilkan produk berkenaan terpaksa mengimport kelapa dari luar untuk memenuhi kehendak pasaran.

"Orang Melayu dahulu sihat sebab gunakan santan dalam masakan sebab ia baik. Lemak yang tak baik ini adalah lemak ciptaan seperti lemak trans.

"Selain itu juga, kelapa dan lemak santan ini turut digunakan oleh atlet antarabangsa sebagai salah satu keperluan untuk meningkatkan prestasi mereka," katanya.

Santan kelapa merupakan cecair emulsi yang terdiri daripada 57 peratus air, 35 peratus lemak, protein (4.5 peratus), karbohidrat (2.1 peratus) dan garam galian (1.1 peratus).

Penyelidikan kelapa oleh MARDI bermula sejak tahun 1972 dengan wujudnya stesen penyelidikan di Hilir Perak sebelum dinaik taraf kepada Pusat Penyelidikan Koko-Kelapa pada tahun 1991.

Di Perak keluasan penanaman kelapa melibatkan kawasan seluas 7,505 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 82,000 metrik tan setahun.

Daerah Bagan Datuk mempelopori penanaman kelapa di Perak dengan keluasan tanaman seluas 6,670 hektar yang menghasilkan 70,000 tan metrik setahun.