PM Thailand: Whip Dewan Perwakilan, Senat tetapkan tarikh mengundi Rabu ini

Wan Muhamad Noor Matha - Agensi
Wan Muhamad Noor Matha - Agensi
A
A
A

BANGKOK - Whip Dewan Perwakilan dan Senat akan bermesyuarat pada Rabu untuk menetapkan tarikh mengundi perdana menteri Thailand yang baharu.

Speaker Wan Muhamad Noor Matha berkata sidang itu dijangka diadakan pada 18 Ogos atau 22 Ogos.

Beliau berkata, undian untuk memilih perdana menteri baharu akan bergantung kepada keputusan Mahkamah Perlembagaan pada Rabu sama ada ia akan menerima petisyen daripada Pejabat Ombudsman yang mencabar kesahihan undi Parlimen yang menafikan pencalonan semula pemimpin Parti Move Forward (MFP) Pita Limjaroenrat sebagai perdana menteri pada 19 Julai.

Wan Muhamad berharap pengundian perdana menteri baharu parlimen dwidewan akan berjalan lancar.

Parti Pheu Thai, yang memenangi kerusi kedua terbanyak dalam pilihan raya umum 14 Mei dengan 141 kerusi, telah meninggalkan bekas sekutunya MFP dan kini mengetuai gabungan sembilan parti dalam usaha untuk membentuk kerajaan.

Gabungan diketuai Pheu Thai mempunyai 238 kerusi dalam Dewan Perwakilan yang dianggotai 500 orang. Bagaimanapun, calonnya memerlukan sekurang-kurangnya 376 undi daripada dwidewan, termasuk sokongan daripada 250 Senator yang dilantik oleh tentera, untuk dipilih sebagai perdana menteri.

Media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Parti Palang Pracharath (PPRP) dijangka mengundi calon perdana menteri Pheu Thai. PPRP mempunyai 40 kerusi.

UTN, yang memenangi 36 kerusi dalam pilihan raya umum dijadualkan bermesyuarat minggu ini untuk membincangkan cara mereka akan mengundi dalam sidang Parlimen akan datang.

Artikel Berkaitan:

PPRP dan UTN kedua-duanya bukan sebahagian daripada gabungan yang diketuai Pheu Thai.

Pheu Thai dijangka mencalonkan usahawan hartanah Srettha Thavisin sebagai perdana menteri. - Bernama