'Bijak dan jujur itulah ciri pemimpin tulen' - Nik Mohd Hasyudeen

Nik Mohd Hasyudeen dalam temu bual eksklusif 'Soalan Panas' bagi menjawab segala isu berkaitan integriti dan rasuah yang disiarkan menerusi Facebook Rasuah Busters dan Sinar Harian pada Isnin.
Nik Mohd Hasyudeen dalam temu bual eksklusif 'Soalan Panas' bagi menjawab segala isu berkaitan integriti dan rasuah yang disiarkan menerusi Facebook Rasuah Busters dan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin perlu memiliki kebijaksanaan dan jujur ketika mentadbir kerana aspek itu menjadi tiang kepada sebuah kepimpinan yang baik.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Dr Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, kedua-dua aspek itu saling berkait dan boleh menjadi panduan kepada rakyat ketika memilih pemimpin.

"Jadi dua perkara ini tak boleh dipisahkan, sebab itulah kalau ada pemimpin yang bijak sahaja yang hebat dari segi berfikir tapi jika dia tidak amanah, dia akan gagal juga untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin.

"Tetapi kalau orang itu jujur sahaja tapi tak bijak, tak pandai, dia juga tidak boleh melaksanakan amanah dan tanggungjawab," katanya dalam temu bual eksklusif 'Soalan Panas' bagi menjawab segala isu berkaitan integriti dan rasuah yang disiarkan menerusi Facebook Rasuah Busters dan Sinar Harian pada Isnin.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, rakyat juga perlu menggunakan daya fikiran dalam membuat pemilihan terhadap seseorang pemimpin.

"Kita perlu guna akal kita untuk menilai, dalam masa yang sama kita kena juga tengok panduan-panduan agama berkenaan dengan pemilihan pemimpin.

"Jadi kepimpinan ini bukan hanya berkenaan dengan orang yang boleh bercakap tentang kebaikan tapi dia kena mampu melaksanakan kebaikan," katanya.

Sementara itu, menyentuh dakwaan bahawa ‘rasuah sebagai satu strategi perniagaan’ Nik Mohd Hasyudeen tidak bersetuju dengan perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Itu satu perkara yang amat silap. Ia satu jenayah yang hina dan sesiapa yang melakukannya tidak boleh diberi kasihan langsung.

"Kerana ia melibatkan kita semua. Cuma saya nak jelaskan sedikit pada rakyat tentang bagaimana rasuah ini sebenarnya kena pada kita semua walaupun kita rasa macam seolah-olah ia berlaku di satu peringkat lain," katanya.

Beliau memberi contoh kes pembinaan sebuah sekolah yang mana jika urusan pembinaannya melibatkan perbuatan rasuah, rakyat juga akan terpalit sekali dan akan menanggung beban kerugian.

"Katakanlah sekolah itu nilainya RM10 juta, jadi bila berlaku rasuah, ia bukan hanya dalam kalangan orang yang nakkan projek, dengan orang yang nak berikan projek.

"Sebab biasanya apabila berlaku rasuah sekolah yang RM10 juta itu akan naik harga kepada RM12 juta ke RM15 juta. Jadi yang RM15 juta itu siapa yang bayar? Yang membayarnya ialah kita semua sebagai pembayar cukai. Sama ada kita bayar cukai pendapatan, kita bayar cukai jualan yang dikenakan dalam barang-barang yang kita beli," katanya.