Tewas lima kerusi, amaran daripada rakyat - Aminuddin

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan kegagalan mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) semalam sebagai amaran daripada rakyat untuk memperbaiki segera segala kekurangan yang ada.

Beliau berkata, meskipun gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) berjaya mendapat kemenangan dua pertiga, faktor kekalahan kerusi terutama di kubu kuat perlu dikenal pasti dan dikaji dengan mendalam.

"Ada beberapa tempat kita rasakan sebenarnya, ada kawasan Felda dan pinggir bandar selalunya jadi kubu kita tapi gagal pertahankan seperti Paroi dan Labu... itu satu amaran kepada kita untuk kenal pasti puncanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

PH dan BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi majoriti dua pertiga daripada 36 kerusi DUN di negeri ini dengan PH menang 17 kerusi dan BN menang 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) meraih lima kerusi.

Lima kerusi dimenangi PN itu adalah di Paroi dan Labu yang sebelum ini milik PH, manakala BN kehilangan kerusi DUN Serting, Bagan Pinang dan Gemas.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, peratusan keluar mengundi pada PRN ini menunjukkan penurunan hampir di setiap saluran yang antaranya berkemungkinan disebabkan faktor kesukaran pelepasan cuti daripada majikan untuk keluar mengundi.

"Mungkin juga mereka telah mengundi (kerusi Parlimen) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengajarannya, selepas ini kita kena pastikan pilihan raya disekalikan, ia memudahkan dan rakyat tidak perlu mengeluarkan belanja lagi untuk pulang ke kampung halaman," katanya.

Sementara itu, Aminuddin yakin PH dan BN mampu membuktikan keserasian untuk mentadbir negeri itu dengan lebih baik dan cemerlang selepas ini.

"Saya yakin kita mampu menunjukkan bahawa kepimpinan ini serius untuk memperjuangkan serta membela anak bangsa di negeri ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!