'Saya tak berniat pamer kertas undi' - Sanusi

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SIK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa beliau tidak berniat untuk mempamerkan kertas undinya kepada pihak media ketika mengundi pada Pilihan Raya Negeri pada Sabtu.

Sebaliknya, beliau berkata, kertas undi itu terdedah secara tidak sengaja ketika melayani permintaan pihak media untuk mengambil gambarnya.

"Bukan saya berniat mempamerkan kertas itu. Tapi bila kita pusing sini pusing sana (untuk mengambil gambar) kertas itu terbuka.

"Tak terniat saya untuk pamer. Tapi bila kelam-kabut melayani permintaan rakan-rakan wartawan, dia jadi macam itu," katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Dewan Muhammad Abduh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik di sini.

Petang tadi, tular gambar Muhammad Sanusi dengan kertas undi yang memaparkan pilihan beliau sebelum memasukkannya ke dalam kotak undi.

Perkara (39) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyebut tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.

Akta tersebut selanjutnya menyebut kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Mengulas kejayaan mempertahankan kerusi DUN Jeneri, Muhammad Sanusi berkata, ini menggambarkan pengundi menolak kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Artikel Berkaitan:

"Nampaknya kemenangan kali ini lebih besar daripada yang kali pertama (bertanding sebagai calon). Ini merupakan satu petanda berlakunya gelombang menolak PH dan BN. Saya rasa orang BN pun menolak PH dan BN,” katanya sambil menambah tidak menjangka memperoleh jumlah undi yang besar.

Terdahulu, beliau diumum sebagai pemenang di kerusi itu dengan majoriti 16,050 undi selepas memperoleh sebanyak 21,823 undi menewaskan calon BN Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang mendapat 5,773 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Muhammad Sanusi menang kerusi itu dengan majoriti undi sebanyak 2,455 menewaskan dua calon lain iaitu Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd Nazri Abu Jassan (PH). - Bernama