Polis terima 42 laporan MyKad disalah guna individu lain

Razarudin (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada Sabtu.
Razarudin (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 42 laporan berkaitan MyKad digunakan individu lain untuk mengundi pada pilihan raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan tertinggi dilaporkan adalah di Selangor dengan 16 kes.

"Selain Selangor, sebanyak sembilan kes sama dilaporkan di Kedah, Pulau Pinang (8), Terengganu (5), Negeri Sembilan (3) dan satu di Kelantan.

"Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Sabtu.

Razarudin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada lebih banyak lagi laporan polis yang dibuat oleh pengundi yang mengesan kad pengenalan mereka telah digunakan individu lain dalam proses pengundian PRN di enam negeri.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya menerima laporan membabitkan kesalahan Seksyen 3(1)(m) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu mencetak apa-apa bahan menyerupai kertas untuk digunakan atau mungkin diguna dalam pilihan raya.

"Kita turut menerima laporan berhubung kesalahan khianat ke atas bendera parti dan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dua laporan berhubung rasa tidak puas hari disebabkan jari kanan dicelup semasa proses membuang undi.

"Sepanjang tempoh hari pengundian, kita tidak menerima sebarang laporan membabitkan kejadian rusuhan dan mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan: