Kerosakan dari zaman BN ganggu pemulihan negara

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

PUTRAJAYA - Dr Mahathir Mohamad mengakui kesalahan, kerosakan dan perbuatan-perbuatan pentadbiran terdahulu dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) memang menjadi masalah besar yang mengganggu pemulihan negara dan kesejahteraan rakyat yang cuba dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri berkata justeru langkah-langkah dan tindakan sepatutnya telah dan akan diambil pentadbiran terkini negara demi memulihkan semula negara.

“Kita dapati kerosakan yang berlaku begitu besar sehingga kita dapati kita tiada berkeupayaan untuk memenuhi janji-janji seberapa segera yang mungkin.

“Malahan, keutamaan kita berubah apabila kita dapati kerosakan yang berlaku itu terlampau parah dan perlu kita selesaikan terlebih dahulu,” katanya sewaktu menyampaikan perutusan perdana sempena satu tahun kerajaan PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri kabinet dan pemimpin parti-parti komponen di dalam PH.

Dr Mahathir berkata tindakan juga telah diambil ke atas pegawai dalam pentadbiran kerajaan yang bersekongkol dan terlibat dalam aktiviti rasuah dan salahguna kuasa pemimpin tertinggi sewaktu pentadbiran kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegasnya, kerajaan PH juga telah merunding semula kontrak-kontrak yang dilulus oleh Najib sendiri, hingga berjaya menyelamatkan RM22.8 bilion.

Langkah-langkah lain, kata perdana menteri adalah menyiasat skandal 1MDB, dan menguatkuasakan undang-undang dengan mendakwa mereka yang menyalahguna kuasa untuk melesapkan duit kerajaan dan menekan rakyat; di samping memulihkan semula institusi-institusi yang telah dirosakkan oleh pentadbiran yang dahulu termasuklah Tabung Haji dan Felda.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata bagi memerangi rasuah, satu badan pencegah rasuah, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) ditubuhkan bagi meningkatkan integriti dan membasmi rasuah selain memperkuatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan memperkenal Pelan Anti-Rasuah Nasional.

Dr Mahathir yang juga perdana menteri keempat pada 1981 hingga 2003 itu berkata kerajaan juga mengkaji semula projek-projek mega termasuk ECRL yang mana harga projek itu melampaui nilaian sepatutnya.

Menurutnya lagi, walaupun segala kesalahan pentadbiran terdahulu didedahkan, Najib dan rakan-rakannya masih mempertikaikan berlakunya salah guna kuasa, rasuah dan penipuan oleh mereka.

Dr Mahathir berkata tidak cukup dengan itu, kem pembangkang dan mana-mana pihak sejak beberapa bulan kebelakangan ini juga cuba membuat persepsi kononnya kerajaan tidak peduli mengenai Islam dan Melayu, dan kerajaan juga digambarkan sebagai akur kepada kehendak golongan bukan Islam dan bukan Melayu sehingga menggadai kepentingan bangsa Melayu dan orang Islam.

“Tidak cukup dengan itu, kita juga dituduh mahu melupuskan sistem beraja. Atas sebab-sebab ini, mereka bergabung (UMNO-Pas) dan dasar yang mereka pegang ialah untuk kononnya mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam.

“Amatlah menghairankan bagaimana Pas dan UMNO boleh bergabung dan bekerjasama. Semua tahu UMNO selama ini telah dikafirkan oleh Pas dan pemimpin Pas terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menarik balik amanatnya.

“Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 2,000 hadirin di dalam Dewan Perdana PICC tersebut.

Dr Mahathir berkata PH telah tampil ke hadapan dan bersama dengan rakyat dari semua kaum untuk menyekat kebatilan yang dilakukan oleh UMNO dan BN sewaktu mereka menjadi kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan dimanakah suara bantahan PAS sewaktu pemimpin UMNO mencuri dan menjarah harta negara menerusi 1MDB, Tabung Haji dan Felda serta lain-lain institusi kerajaan seperti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hingga tergamak meminta penyokong mereka untuk bersama dengan UMNO untuk mempertahankan Melayu dan Islam.

“Perjuangan yang kononnya untuk mempertahankan Melayu dan Islam tidak lain dari mempertahankan perompak-perompak Negara yang berharap jika Kerajaan ini jatuh maka kes-kes yang mereka hadapi akan gugur dan mereka tidak perlu bertanggungjawab dengan dosa dan kerosakan yang mereka telah lakukan,” tambahnya. - Bernama