PRN: Warga emas berkerusi roda antara terawal mengundi di Penanti

Siti Zainab (duduk) bersama cucunya, Faeah Afifah (kiri) dan Anis Nabilah (kanan) menunjukkan jari mereka menandakan telah selesai mengundi.
Siti Zainab (duduk) bersama cucunya, Faeah Afifah (kiri) dan Anis Nabilah (kanan) menunjukkan jari mereka menandakan telah selesai mengundi.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Walaupun pergerakan terbatas, namun tidak menghalang seorang warga emas, Siti Zainab Wazi, 83, untuk keluar awal menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

Beliau yang hadir dengan berkerusi roda di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Permatang Pauh ditemani dua cucunya, Anis Nabilah, 26, dan Farah Afifah Mohd Azman, 19.

Siti Zainab berkata, dia tiba di pusat mengundi pada jam 8 pagi disambut oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk proses semakan maklumat dan bantuan pergerakan ke bilik membuang undi.

"Memang selalu mak cik mai awal... mudah waktu pagi tak ramai sangat dan semuanya lancar.

"Mak cik tak ingat dah berapa kali mengundi, tapi yang pasti setiap kali pilihan raya mak cik bersama ahli keluarga akan tunaikan tanggungjawab untuk pilih wakil rakyat kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Turut memilih untuk datang awal, tiga beradik dari Mukim 8, Tanah Liat yang datang bersama bagi memilih Ahli Dewan Undangan (ADUN) pilihan mereka.

Nurul Aisha (kiri) bersama kakak, Alani Fatini dan abangnya, Firas Faiq sempat merakamkan swafoto selepas selesai mengundi.
Nurul Aisha (kiri) bersama kakak, Alani Fatini dan abangnya, Firas Faiq sempat merakamkan swafoto selepas selesai mengundi.

Nurul Aisha Norazlie, 18, mengakui teruja apabila pertama kali terlibat dalam proses demokrasi pada PRN kali ini dan tiba di pusat mengundi berkenaan bersama kakak dan abangnya, Alani Fatini Norazlie, 20; Firas Faiq Norazlie, 20 pada jam 8 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

"Tak sangka proses untuk mengundi cuma ambil masa beberapa minit sahaja.

"Saya harap dengan satu undi yang diberikan ini akan dapat memberi kemenangan kepada calon pilihan dan menjadi harapan kami agar wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menunaikan segala janji dan melaksanakan tugasnya dengan baik," katanya.