Khutbah Jumaat di Negeri Sembilan tegas kewajipan pilih pemimpin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Umat Islam perlu sedar bahawa kelak golongan itu akan dipersoalkan tentang hak mengundi yang diberi semasa di dunia.

Perkara itu ditegaskan menerusi khutbah di semua masjid di Negeri Sembilan pada Jumaat.

Berdasarkan teks khutbah berkenaan, seorang Muslim yang beriman perlu mengambil peduli tentang hal ehwal pemilihan pemimpin.

“Malangnya ada segelintir umat Islam yang menganggap pilihan raya tidak membawa faedah untuk dirinya. Ada pula yang beralasan, calon yang bertanding tidak memiliki kriteria dan personaliti yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin.

“Semua tanggapan ini menyebabkan peratus keluar mengundi menjadi amat rendah. Lebih parah lagi ada yang sengaja melakukan undi rosak bagi menunjukkan ketidakpuasan hati. Tindakan tersebut adalah sia-sia dan merugikan masyarakat,” menurut teks berkenaan.

Selain itu khutbah tersebut turut menegaskan, proses mengundi sangat penting untuk menentukan corak masa depan negeri dan negara.

Meskipun sering mendengar ada pihak yang menolak demokrasi kerana memahukan sistem khalifah, perbezaan dari sudut falsafah dan amalan antara demokrasi dengan sistem Islam, namun ada titik pertemuan dalam perkara-perkara yang tertentu.

“Antara persamaan tersebut termasuklah dari sudut prinsip syura, kesamarataan, keadilan, kebebasan dan tanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua prinsip inilah menjadikan amalan demokrasi boleh diterima. Catatan sejarah Islam turut menyebut peristiwa selepas kewafatan Rasulullah SAW.

“Berdasarkan peristiwa di Saqifah Bani Saidah iaitu sebuah tempat yang terletak di Madinah, jelaslah bahawa Islam meletakkan pemilihan pemimpin sebagai urusan yang utama,” jelasnya.

Dalam pada itu, rakyat terutama pengundi baharu atau pertama kali menunaikan tanggungjawab dinasihatkan untuk menjalankan amanah yang diberi tanpa rasa takut dan ragu kerana hak mereka dipelihara dan terjamin oleh undang-undang.

Mereka perlu lakukan bacaan dan penyelidikan daripada sumber-sumber diakui kebenaran sebelum membuat keputusan memilih calon dan parti.

Pengundi muda pula seharusnya berfikiran jauh kerana mereka adalah gambaran kepimpinan negara pada masa hadapan.

“Kita sewajarnya menilai prestasi pimpinan sebelum ini dengan menggunakan ilmu dan kebijaksanaan tanpa dipengaruhi oleh mana mana sentimen dan persepsi agar pilihan terbaik dapat dilakukan demi masa hadapan.

“Imam Ibnu Kathir menjelaskan ayat ini (surah al-Qasas ayat 26) memberi pengajaran agar kita memilih pemimpin yang mempunyai dua sifat yang utama, yakni qowiyy yang bermaksud gagah dan amin, yang bermaksud jujur, amanah dan berintegriti,” menurut teks khutbah berkenaan.