Stok minyak sawit Malaysia melonjak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah stok minyak sawit Malaysia melonjak 0.7 peratus kepada 1.73 juta tan metrik pada Julai 2023, berbanding 1.72 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.

Dalam laporan prestasi industri terkininya bagi Julai 2023, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, inventori minyak sawit mentah (MSM) merosot 3.6 peratus kepada 884,666 tan metrik bulan lepas daripada 917,382 tan metrik pada Jun.

Stok minyak sawit yang diproses pula naik 4.75 peratus kepada 846,846 tan metrik daripada 802,453 tan metrik sebelumnya.

Pengeluaran MSM meningkat 11.2 peratus kepada 1.61 juta tan metrik pada Julai daripada 1.45 juta tan metrik pada bulan sebelumnya manakala pengeluaran isirung sawit menambah 4.67 peratus kepada 386,815 tan metrik daripada 350,516 tan metrik.

MPOB berkata, eksport minyak sawit meningkat sebanyak 15.6 peratus atau 182,187 tan metrik kepada 1.35 juta tan metrik pada Julai daripada 1.17 juta tan metrik sebelum ini manakala eksport oleokimia melonjak 1.9 peratus kepada 228,954 tan metrik.

Eksport biodiesel mengukuh 30 peratus kepada 16,801 tan metrik pada Julai daripada 12,927 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Eksport dedak isirung sawit meningkat 46.1 peratus kepada 194,438 tan metrik daripada 133,125 tan metrik sebelum ini dan eksport minyak isirung sawit juga naik 20.8 peratus kepada 77,729 tan metrik daripada 64,325 tan metrik pada Jun.

Import MSM turun 22 peratus kepada 6,608 tan metrik pada Julai manakala jumlah import minyak sawit menyusut 23.2 peratus kepada 103,837 tan metrik berbanding 135,271 tan metrik pada bulan sebelumnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: