‘Sesiapa berpura-pura berlakon tegakkan Islam pasti tersungkur’ - Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Sesiapa yang berpura-pura atau berlakon kononnya cuba menegakkan agama Islam, mereka pasti akan melompat keluar dan tersungkur di pertengahan perjalanan hidupnya, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, golongan seperti mereka bukan sahaja menggunakan perkataan bahasa Arab dengan tujuan salah dan melakukan pelbagai gerak lakonan, bahkan turut membina masjid sebagai lambang ibadat bagi menggoda serta mengelirukan umat Islam.

“ALLAH SWT menyebutkan dalam firman-Nya di atas sifat-sifat dan ciri-ciri kumpulan Islam yang menyambung perjuangan membawa Islam iaitu melaksanakan Islam yang sempurna, bukan Islam yang sekular iaitu memisahkan politik daripada Islam.

“Kedua, berjihad untuk menegakkan Islam, bukannya menonjolkan diri dan ketiga, menegakkan kuasa amar ma‘ruf dan nahi munkar.

"Menegakkan Islam itu tidak dibolehkan dengan berlakon, berlagak dan berpura-pura,” katanya dalam siaran di Facebook beliau pada Khamis.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, sejarah keemasan Islam menyaksikan berlakunya pertukaran pelbagai bangsa paling berpengaruh yang menganutnya, sehingga Islam berjaya memerintah negara selama lebih daripada 14 abad iaitu 1,300 tahun.

Jelasnya, perpaduan umat Islam terdiri daripada pelbagai bangsa yang kukuh dan pemerintahan silih berganti bangsa pemimpinnya serta disertai oleh semua bangsa yang menganut Islam.

“Penerimaan orang bukan Islam juga lebih reda bersama kerajaan Islam kerana keadilannya, sehingga Islam mencipta tamadun yang bersumberkan ilmu wahyu sebagai petunjuk dan ilmu yang bermanfaat daripada pelbagai bangsa dalam negara Islam.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kewajipan tidak lagi dilaksanakan, umat Islam diseksa dengan penjajahan musuh Islam daripada pelbagai agama dan ideologi. Namun, Islam tetap dipelihara ALLAH dan adanya kumpulan yang kembali berjuang bagi menegakkannya.

“Kehilangan kuasa umat Islam terjadi apabila mereka meninggalkan perjuangan untuk mempertahankannya,” ujarnya.