PH, BN sukar menang di Kedah - Setiausaha Agung MCA

Chong Sin Woon (empat kiri) dan Mohd Zaidy (berkerusi roda) selepas mengadakan pertemuan di Bilik Gerakan MCA Rompin pada Khamis.
Chong Sin Woon (empat kiri) dan Mohd Zaidy (berkerusi roda) selepas mengadakan pertemuan di Bilik Gerakan MCA Rompin pada Khamis.
A
A
A

JEMPOL- Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berpendapat sukar untuk gabungan Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menang di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Bagaimana pun, beliau mengakui tidak mustahil (menang) seperti mana yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi sesuatu matlamat yang amat mencabar.

"Jadi saya rasa kalau boleh kita lebih kepada mempertahankan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor. Seperti mana yang saya kata tadi (dalam ucapan) terlalu banyak perhatian diberikan kepada Kedah khususnya menentang Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor).

"Ia sehinggakan Perikatan Nasional (PN) telah memasuki banyak kawasan di Selangor dan saya rasa daripada percaturan itu PN lebih fokus untuk mendapatkan Selangor sebab itu sebagai 'enjin' pembangunan ekonomi negara," katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan MCA Rompin di sini pada Khamis.

Hadir sama, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Katanya, PN tidak ada isu untuk mempertahankan Kedah justeru BN-PH dalam tempoh 24 jam ini berilah lebih fokus untuk mempertahankan Selangor.

"Negeri Sembilan kita tak risau seperti mana saya katakan tadi mempunyai sokongan padu ahli UMNO yang kuat pada pilihan raya yang lepas, tetapi kerisauannya itu akan nampak pemindahan penuh (transferability) undi-undi daripada BN kepada PH iaitu di kawasan kawasan kerusi campuran Melayu, India dan Cina.

"Itulah kawasan yang akan menentukan sama ada kita menang dengan besar ataupun kita menang dengan kerusi yang tak begitu banyak adalah bergantung kepada kemenangan pertempurannya di kawasan campuran.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, di situ walaupun ada sokongan masyarakat Cina kita tak pasti lagi bagaimana dengan sokongan masyarakat Melayu. Itulah yang menjadi cabaran kepada kita sebab lebih mudah untuk PH memindahkan undi mereka kepada BN kerana PH itu 'fix deposit' mereka undi Cina," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, undian daripada masyarakat Cina nampaknya ketika ini tidak banyak pilihan.

"Mereka tidak akan undi Perikatan Nasional (PN) kerana Pas ada di situ, jadi kemungkinan besar kalau mereka keluar mengundi akan mengundi kepada PH, BN. Jadi mudah untuk mereka memindahkan undi itu kepada BN.

"Tetapi kita kena jujurlah, bagaimana nak memindahkan undi kita kepada PH itu menjadi satu cabaran kepada kita. Bagaimana pun saya rasa semua parti-parti BN telah melakukan yang terbaik termasuk MCA dan MIC, walau tidak bertanding tetapi turut membantu untuk memenangkan calon BN kita," katanya.

Pada PRN ini, enam negeri terlibat pilihan raya iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan. Tiga daripadanya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah sebelum ini di menangi oleh PN.