14 wanita Indonesia jadi buruh paksa diselamatkan

Polis menyelamatkan 14 wanita warga Indonesia di sebuah rumah di Klang, Selangor dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa.
Polis menyelamatkan 14 wanita warga Indonesia di sebuah rumah di Klang, Selangor dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa.
A
A
A

KLANG - Polis menyelamatkan 14 wanita Indonesia menerusi serbuan di sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, di sini pada Selasa, dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa.

Op Pintas kira-kira jam 8.50 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua wanita itu berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun.

Menurutnya, polis telah bertindak menahan seorang wanita tempatan berusia 48 tahun yang disyaki berperanan sebagai ejen dan majikan mangsa terbabit.

"Siasatan awal mendapati suspek telah menjalankan aktiviti perkhidmatan pembersihan rumah kira-kira tiga tahun tanpa sebarang pendaftaran perniagaan.

"Tangkapan telah mengambil warga asing sebagai pekerja untuk perkhidmatan pembersihan rumah ke rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dokumen peribadi mangsa telah disimpan oleh suspek selain mangsa yang mendakwa ada dipukul.

Katanya, rumah terbabit digunakan sebagai tempat penginapan semua pekerja yang dijaga suspek.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini bertujuan membanteras ejen pembersihan rumah yang terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia ke atas warga asing yang merupakan pekerja mereka," ujarnya.

Kes disiasat bawah Seksyen 12 Akta Atipsom 2007 [Akta 670].