Perak tagih sentuhan Seonung

Seonung (kiri) ketika aksi Perak menentang Kedah Darul Aman dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Perak baru-baru ini.
Seonung (kiri) ketika aksi Perak menentang Kedah Darul Aman dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Perak baru-baru ini.
A
A
A

PENYERANG Perak FC, Seo Seonung dijangka memperkuatkan cabaran The Bos Gaurus menjelang aksi Liga Super berdepan Penang FC di Stadium Perak, Ipoh pada Rabu.

Menurut pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, pemain berusia 22 tahun itu telah pun kembali menjalani latihan bersama-sama rakan sepasukan The Bos Gaurus.

“Apa yang boleh saya katakan perkembangan terkini mengenai Seonung adalah positif.

"Pasukan perubatan juga sedang menilai keadaan semasa Seo-nung, malah kami telah membeli topeng pelindung untuknya.

"Sejujurnya Seonung merupakan pemain penting buat pasukan, sekiranya dia cergas saya akan bermain esok (Rabu)," katanya kepada Sukan Sinar.

Pada 3 Ogos lalu, penyerang dari Korea Selatan itu mengalami patah hidung selepas ditendang di bahagian muka oleh pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rodney Celvin pada minit ke-60, semasa perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh.

Tindakan Rodney itu menyaksikan pemain import skuad Kenari itu dilayangkan kad merah yang kemudiannya dimanfaatkan tuan rumah untuk kemenangan 3-1.

Susulan insiden itu, Rodney kemudian mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada Perak FC, Seonung dan penyokong The Bos Gaurus.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Yusri berharap para pemain Perak dapat mengekalkan rentak positif ketika melayan kunjungan skuad Manzoor Azwira tersebut.

Jelasnya, kemenangan ke atas Kedah sebelum ini menjadi pembakar semangat kepada para pemain untuk meraih keputusan positif.

"Jadi momentum itu perlu diteruskan apabila berdepan Penang FC di tempat sendiri ditambah para pemain mula mendapat keyakinan diri.

"Keputusan perlawanan ini juga penting kepada pasukan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga

"Pemain saya mula berasa yakin, terima kasih kepada pemain baharu kami. Matlamat kami adalah untuk mendaki kedudukan dan menamatkan saingan dengan baik musim ini," katanya.