Junta Niger lantik perdana menteri sementara

Ali Mahamane Lamine Zeine dilantik sebagai perdana Menteri sementara. - Foto AP/Twitter/@CayesJacme1
Ali Mahamane Lamine Zeine dilantik sebagai perdana Menteri sementara. - Foto AP/Twitter/@CayesJacme1
A
A
A

KIGALI - Junta Niger melantik perdana menteri sementara pada Isnin menerusi dekri yang dibacakan di siaran televisyen nasional selepas rampasan kuasa tentera yang menggulingkan Presiden Mohamed Bazoum, lapor Agensi Anadolu.

Kerajaan sementara, digelar Majlis Kebangsaan untuk Melindungi Negara telah melantik Ali Mahamane Lamine Zeine sebagai perdana Menteri sementara, menurut dekri Jeneral Abdourahmane Tchiani.

Tchiani, iaitu bekas komander pengawal presiden Niger, mengisytiharkan dirinya sebagai ketua kerajaan peralihan.

Zeine, 58, pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan di bawah Mamadou Tandja, yang memimpin negara itu dari 1999 hingga 2010 selepas pemulihan pemerintahan sivil.

Pada masa ini, Zeine berkhidmat sebagai Pengurus Negara Bank Pembangunan Afrika untuk Chad.

Zeine, dijangka mengetuai perundingan bagi pembentukan kerajaan baharu.

Blok serantau Afrika Barat, iaitu Masyarakat Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) akan mengadakan satu lagi sidang kemuncak tergempar pada Khamis di Nigeria untuk menangani krisis politik di Niger selepas pemimpin tentera tidak mengendahkan kata dua untuk menyerahkan kuasa.

Pada Isnin, Jabatan Negara AS memaklumkan ia menghubungi junta secara langsung dan telah menekankan keperluan untuk membebaskan Bazoum dan agar Niger kembali kepada "tadbir urus perlembagaan"nya.

Artikel Berkaitan:

Bazoum telah ditahan pada 26 Julai, dan pada petang yang sama Majlis Kebangsaan untuk Melindungi Negara mengumumkan pengambilalihan kerajaan. - Bernama