PAS minta hentikan kempen politik mengugut bukan Melayu

A
A
A

DR AHMAD SAMSURI
DR AHMAD SAMSURI

SHAH ALAM - Pas bimbang melihat perkembangan fasa akhir kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menunjukkan beberapa pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) mula menggunakan kempen yang diselitkan dengan ugutan dan menakut-nakutkan bukan Melayu terhadap parti itu.

Menurut Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang memberi ceramah berbaur ugutan dan ancaman kepada orang bukan Melayu merupakan satu kenyataan yang salah.

Jelas beliau, ucapan Hannah yang menyatakan usaha menukar Menteri Besar Selangor kepada PAS dan menyingkirkan PH dalam pilihan raya negeri nanti akan jadi adalah satu tindakan menghukum diri sendiri dan hukuman terhadap anak serta cucu.

"Budaya kempen ugut dan mengancam adalah salah sama sekali dan menggugat keharmonian kaum di Malaysia.

"Tapi DAP tak pernah serik. Kempen sebegini mengulangi sekali lagi kempen politik tidak sihat yang dibuat oleh Lim Guan Eng, yang mengatakan jika gelombang hijau menang, maka kuil akan dirobohkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri berkata demikian ketika klip tular ucapan Yeoh, di mana beliau memberi amaran kepada pengundi di Selangor supaya tidak "menghukum" PH.

Artikel Berkaitan:

Ujar Ahmad Samsuri lagi, undang-undang dan peraturan sedia ada merangkumi semua orang, sama ada pihak kerajaan yang memerintah atau pembangkang.

Katanya, sikap double standard seolah-olah ada dua set peraturan yang berbeza untuk kerajaan dan pembangkang, hanya akan membawa Malaysia tercinta ke arah yang bertentangan dengan 'reformasi'.

"Saya mengambil kesempatan hari ini, mengajak dan menasihati pemimpin politik supaya tidak menggunakan kempen politik yang mengancam seperti ini, berkempen secara sihat dan matang bagi memastikan keharmonian kaum dapat dikekalkan.

"Saya juga berharap agar rakyat Malaysia tidak terbeli dengan politik sebegini, yang menghina cerdik pandai rakyat dan tidak beradab," katanya.

Menurut Dr. Ahmad Samsuri lagi, budaya politik lapuk ini perlu dihentikan.

Jelas beliau, di bawah pentadbiran Pas Terengganu, hubungan antara kaum terpelihara secara harmoni, dan kebajikan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan warna parti terus terjamin tanpa diskriminasi.

"Hak rakyat telah dijamin oleh perlembagaan dan ia juga menjadi tuntutan dalam Islam.

"Saya mengajak semua pihak untuk menjadikan PRN ini sebagai referendum untuk kita menamatkan budaya politik mengancam dan menakutkan rakyat ini," katanya