Guan Eng dibenar sampai saman fitnah kepada Azmin guna perkhidmatan gantian

Guan Eng, Azmin
Guan Eng, Azmin
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi untuk menyampaikan saman fitnahnya terhadap bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui perkhidmatan gantian dengan cara menyiarkannya di akhbar.

Peguam K. Simon Murali yang mewakili Guan Eng memberitahu Bernama bahawa permohonan anak guamnya untuk menyampaikan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui perkhidmatan gantian telah dibenarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sungai Petani Muhammad Amzar Ismail pada Selasa.

Dalam permohonan ex-parte (sebelah pihak), Guan Eng memohon agar dokumen itu dipaparkan pada papan kenyataan Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Sungai Petani di Kedah dan juga disiarkan dalam akhbar The Star serta Berita Harian.

Perkhidmatan gantian adalah untuk menghantar dokumen dalam litigasi awam dalam bentuk surat, iklan untuk disiarkan dalam akhbar atau apa-apa kaedah lain yang membolehkan prosiding mendapat perhatian defendan selepas penyampaian peribadi dokumen tidak dapat dilaksanakan.

Dalam samannya yang difailkan pada 17 April lepas, Guan Eng mendakwa Mohamed Azmin telah membuat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam satu majlis di Lunas, Kedah pada 12 November tahun lepas sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 yang dihadiri media yang membuat liputan kempen pilihan raya.

Guan Eng mendakwa Mohamed Azmin membayangkan beliau (Guan Eng) bersikap angkuh, telah menakutkan komuniti perniagaan sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar The Star pada 13 November lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kenyataan menyinggung perasaan yang merujuk secara khusus terhadap dakwaan kelakuannya semasa menjadi Menteri Kewangan telah menjejaskan kredibiliti dan reputasinya.

Beliau berkata, kenyataan itu dalam maksud biasa antara lain mendakwa beliau telah menyalahgunakan kuasa sebagai menteri kewangan ketika itu dengan menggunakan agensi kerajaan untuk tujuan yang tidak wajar.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng berkata, kenyataan itu adalah memfitnahnya yang telah memperlekehkannya dalam kedudukan peribadinya dan dalam kapasiti dan profesion rasminya.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta permohonan maaf tanpa syarat daripada Mohamed Azmin untuk diterbitkan dalam akhbar The Star dan secara dalam talian The Star.

Beliau juga memohon untuk dibayar faedah ke atas jumlah yang diberikan sebagai ganti rugi dan relif atau perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Murali memberitahu Bernama bahawa beberapa percubaan telah dibuat untuk menyampaikan writ saman dan pernyataan tuntutan itu secara peribadi kepada Mohamed Azmin namun gagal. Beliau berkata beliau kemudian memfailkan permohonan ex-parte untuk dokumen itu diserahkan kepada Mohamed Azmin melalui perkhidmatan gantian. - Bernama