Maritim Malaysia patahkan cubaan pindah diesel, rampasan RM3.3 juta

Aktiviti pemindahan diesel secara haram di muara Sungai Paloh, Pasir Gudang. - Foto Maritim Malaysia
Aktiviti pemindahan diesel secara haram di muara Sungai Paloh, Pasir Gudang. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan sebuah bot dan lori tangki disyaki melakukan pemindahan 28,000 liter diesel secara haram.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, berdasarkan maklumat risikan, bot Maritim Malaysia diatur gerak ke muara Sungai Paloh, Pasir Gudang pada jam 12.30 malam Selasa.

"Setiba bot ronda Maritim Malaysia di lokasi, terdapat bot dan lori tangki berada berhampiran dengan hos dan pam minyak bersambung antara satu sama lain.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bot dikendalikan tiga kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga tempatan dan warga Indonesia berusia antara 29 hingga 64 tahun.

"Dua lagi suspek yang berada di dalam pacuan empat roda di lokasi kejadian terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga Myanmar berumur 48 dan 58 tahun turut ditahan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen mengenai muatan diesel yang dipercayai telah dipindahkan daripada lori tangki di lokasi berkenaan.

"Bot dan lori tangki membawa muatan lebih kurang 28,000 liter diesel bersubsidi serta sebuah pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM3.3 juta telah disita.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 135(c) Akta Kastam 1967, Peraturan 18 Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan lain-lain akta berkaitan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: