[VIDEO] Polis panggil ahli Parlimen isu kenyataan ketika ceramah PRN Kedah

A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah akan memanggil seorang ahli Parlimen berhubung kenyataan beliau dalam satu ceramah kempen pilihan raya negeri (PRN) Kedah baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Saleh berkata, ia susulan empat laporan polis diterima pada Isnin berhubung kenyataan yang mendatangkan khianat awam mengaitkan keselamatan diri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, kenyataan dimuat naik sebagai satu artikel dalam Facebook dilihat sebagai suatu fitnah mengelirukan dengan niat mendatangkan khianat awam yang boleh menggugat ketenteraman awam dan negara mengait keselamatan diri Menteri Besar Kedah.

"Kita akan menyiasat dan akan panggil penama-penama yang disebut yang bercakap dalam mengatakan keselamatan orang-orang tertentu.

"Kita nak maklumkan keselamatan dan perjalanan kempen sangat harmoni," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal PRN Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, pada Selasa.

Fisol (tengah) bercakap kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal PRN Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, pada Selasa.
Fisol (tengah) bercakap kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal PRN Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, pada Selasa.

Beliau menjelaskan, empat individu yang membuat laporan polis berkaitan ceramah terbabit juga telah dipanggil untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Kata Fisol, setakat ini, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan ancaman sama ada kepada penyokong, orang awam dan termasuk calon.

Artikel Berkaitan:

"Kes-kes yang berlaku di negeri Kedah ini dalam tempoh berkempen sangat minimum dan tidak ada langsung apa ancaman-ancaman," katanya.

Fisol menambah, Polis Kedah mempunyai anggota dan pegawai polis bertanggungjawab untuk memastikan tiada ancaman berlaku kepada calon.

Beliau turut menjelaskan, menteri besar memiliki pegawai pengiring yang boleh memaklumkan kepada polis pada bila-bila masa sahaja sekiranya ada ancaman

"Jadi, pada saya tidak ada isu keselamatan dan jikalaulah dia menghadapi isu-isu keselamatan (maka) pegawai yang menjadi pengiring dia bila-bila masa boleh menghubungi kami untuk memaklumkan ada ancaman,"katanya.

Kata beliau lagi, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Beliau menasihatkan orang ramai dan mana-mana pihak berkempen dalam musim pilihanraya ini supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi sehingga menimbulkan kegugaran dan menggugat ketenteraman awam.

Pada Ahad lepas, seorang ahli parlimen memaklumkan Menteri Besar Kedah dinasihatkan tidak hadir ke ceramah kempen pilihan raya bagi tujuan memastikan keselamatan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu terjamin.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 237 laporan polis berkaitan pilihan raya diterima sepanjang tempoh berkempen PRN bermula 29 Julai lepas sehingga 7 Ogos 2023.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka dan dua tangkapan telah dilakukan," katanya.

Beliau menambah, siasatan dijalankan melibatkan pelbagai kesalahan dibawah Akta Pilihan Raya 1954, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan.

"Secara keseluruhannya, situasi keselamatan di Kedah setakat ini adalah tenang dan terkawal tanpa sebarang insiden menggugat keselamatan,"katanya.

Justeru itu, Fisol berkata, penganjur ceramah sepanjang kempen PRN Kedah diminta mematuhi peraturan berkempen dan memohon permit terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang ceramah bagi membolehkan sudut-sudut keselamatan termasuk kawalan lalu lintas dapat diuruskan bagi kemudahan kelancaran kempen bagi semua parti yang bertanding.

Beliau turut menasihatkan penyokong kepada calon bertanding supaya tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan mencetuskan kemarahan orang ramai sepanjang tempoh berkempen ini.