Jangan mudah terpengaruh, kena bijak nilai fakta - Tok Mat

Mohamad meluangkan masa meninjau pusat pengundian awal di Pengkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan.
Mohamad meluangkan masa meninjau pusat pengundian awal di Pengkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan.
A
A
A

REMBAU - Pengundi dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan mainan sentimen serta tohmahan yang disebarkan menerusi media sosial sepanjang pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengundi perlu berupaya menilai pihak yang berhujah berdasarkan fakta berbanding fitnah terutama dalam tempoh berkempen di enam negeri.

“Saya minta mereka berikan undi dengan teliti supaya tidak terikut-ikut dengan tohmahan, sentimen yang berlambak dalam media sosial kerana ini cara baharu orang berkempen melalui media sosial. Platform ini tiada tapisan, macam-macam tohmahan, cerita (disebarkan).

“Kita sebagai rakyat mesti berupaya untuk teliti dan mentelaah mana betul mana yang tidak. Di situ nanti kita boleh lihat siapa yang bercakap benar dan sentiasa sahaja melemparkan tohmahan, fitnah dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Pengundian Awal di Dewan Angkasaraya, Pangkalan Udara Sendayan pada Selasa.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, setakat ini proses pengundian awal yang bermula sejak pukul 8 pagi berjalan dengan lancar.

“Sudah 15 peratus (setakat pukul 9.40 pagi) anggota tentera telah menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk membuat undi awal.

“Ada tiga saluran dan hanya ambil masa dua hingga tiga minit. Ini bagus kerana pada tahun-tahun yang lepas, pengundian awal mahupun semasa hari mengundi, beratur yang terlampau panjang dan proses sangat lama. Kali ini lancar dan laju,” ujarnya.

Mohamad (kanan) dan Rozmal (kiri) bertemu di pusat pengundian awal di Pengkalan Udara Sendayan pada Selasa.
Mohamad (kanan) dan Rozmal (kiri) bertemu di pusat pengundian awal di Pengkalan Udara Sendayan pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Rozmal Malakan dilihat turut hadir meninjau proses pengundian awal di kem berkenaan.

Ditanya mengenai penelitiannya, beliau meluahkan rasa syukur dengan proses pengundian awal yang berjalan dengan lancar dan teratur.

“Sudah lama tidak masuk kem, dahulu saya anak askar dan sudah biasa keluar masuk kem. Hari ini agak teruja.

“Saya baru sahaja meninjau ke Balai Polis Rantau pada pukul 8.45 pagi tadi, Alhamdulillah semua berjalan lancar,” kongsinya.

Sebagai rekod, Mohamad merupakan penyandang DUN Rantau sejak 2004 dan memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 2004 hingga 2018.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!