[VIDEO] Shahidan yakin PN menang 36 kerusi di Selangor

A
A
A

KUALA SELANGOR - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yakin Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi 36 daripada 56 kerusi di Selangor sekali gus membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau memberitahu, keyakinan itu berdasarkan pemerhatian terbaharu dan pengalaman beliau sepanjang turun menyertai ceramah.

Malah jelas beliau, faktor penyumbang itu juga didorong hasil sokongan daripada pengundi Cina dan India.

"Kita mendapati kedua-dua kaum itu kini sudah nampak ke arah PN dan kalau mereka menyokong, 36 kerusi itu kita menang kerana pengundi kawasan Melayu Insya-ALLAH (menang)," katanya ketika ditemui pada Ceramah Restart Permatang, Ayuh Bangkit di Kampung Raja Musa di sini pada malam Isnin.

Bekas Menteri Besar Perlis itu dalam ucapannya berkata, lima negeri diyakini mampu ditawan dalam PRN kali ini.

"Kedah kita dapat 36 (kerusi), Kelantan 45 kerusi, Terengganu 35 manakala Pulau Pinang pula (peluang sama rata) 50-50.

"Di Selangor Noh (Tan Sri Noh Omar) kata 33 (menang) dan saya kata 34, namun, berdasarkan perkembangan terbaharu, saya kata 36 (kerusi)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Shahidan berucap ketika Ceramah Restart Permatang, Ayuh Bangkit di Kampung Raja Musa di sini pada malam Isnin.
Shahidan berucap ketika Ceramah Restart Permatang, Ayuh Bangkit di Kampung Raja Musa di sini pada malam Isnin.

Sementara itu, Noh berkata, manifesto ditawarkan PN Selangor selaras dengan hasrat diperjuangkan beliau selama enam penggal menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang.

Kata beliau, antara fokus manifesto itu melibatkan kebajikan pesawah, petani dan nelayan yang masih memerlukan bantuan kerajaan negeri.

"Selain itu, saya sudah lama memperjuangkan penghapusan caj parkir dan penyediaan rumah bagi anak muda di daerah ini," jelas beliau.